"Tahun ini, kami menyaksikan peningkatan dalam bilangan akaun kepada 15.6 juta setakat Oktober 2023 berbanding 15.2 juta tahun lalu.

"Populariti berterusan produk unit amanah kami terbukti melalui kajian daripada 2023 RinggitPlus Malaysian Financial Literacy Survey (RMFLS) dengan produk ASNB mengekalkan kedudukan mereka sebagai pilihan pelaburan paling popular," katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Ahmad Zulqarnain Onn, berkata ASB telah mencatatkan prestasi yang kukuh, hasil daripada perumpukan aset dan strategi kepelbagaiannya.

Beliau berkata, beberapa urus niaga penting telah dilaksanakan untuk meningkatkan nilai bagi pemegang unit.

"ASB terus menjadi pelaburan pilihan jutaan masyarakat Bumiputera dan terus memberikan pulangan yang konsisten, membentuk sebahagian daripada pelan simpanan untuk lebih 10.8 juta pelanggan," katanya.

Pengiraan pengagihan pendapatan untuk ASB adalah berdasarkan purata baki bulanan minimum yang dipegang sepanjang tahun kewangan dana itu.



Unit-unit yang dilaburkan semula daripada pengagihan pendapatan akan dikreditkan ke dalam akaun pemegang unit pada 1 Januari 2024.

Urus niaga ASB di semua cawangan dan ejen ASNB, termasuk semua platform digital dan perbankan internet, akan ditangguhkan buat sementara waktu dari 22 hingga 25 Disember 2022.

Satu ciri khas diperkenalkan pada tahun ini bagi menggalakkan rakyat Malaysia terus menyimpan, yang membolehkan transaksi pelaburan tunai tambahan dalam ASB bermula 26 Disember 2023.

Urus niaga pelaburan itu akan diambil kira untuk baki minimum bulanan pada Januari 2024, membolehkan pemegang unit menikmati pengiraan penuh pengagihan pendapatan mulai Januari 2024.

Pemegang unit boleh melakukan semula urus niaga di semua platform digital dan perbankan internet bermula 1 Januari 2024, atau di mana-mana cawangan atau ejen ASNB di seluruh negara bermula 2 Januari 2024.