Suspek simbah asid direman empat hari - Info Malaysia

Suspek (tengah dan bertudung biru) ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Selayang pagi tadi.
Oleh: Ridhwan Rusydi Azri Roslan

SELAYANG: Seorang wanita warga emas direman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung serangan menggunakan asid terhadap pasangan suami isteri sehingga mengakibatkan kecederaan kepada mangsa dalam kejadian di Pangsapuri Laksamana Jaya, Batu Caves, Khamis lalu.

Suspek yang berusia 60 tahun itu dibawa ke Mahkamah Majistret Selayang kira-kira jam 8.50 pagi tadi dan perintah tahanan reman ke atasnya dikeluarkan oleh Majistret Chai Guan Hock.

Ia bagi membolehkan siasatan terhadap suspek dilakukan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.

Semalam, Pemangku Ketua Polis Daerah Gombak, Superintenden Noor Arifin Mohamad Nasir dalam satu kenyataan memberitahu, wanita berusia 60 tahun itu ditahan di Taman M Residensi, Rawang, kira-kira jam 4.20 petang Ahad.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.

Noor Arifin memberitahu, seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara hingga tiga tahun atau dengan denda atau dengan sebatan atau mana-mana dua daripada seksaan itu.

Sebelum ini, Buletin TV3 melaporkan seorang warga emas bersama suami dan anaknya yang merupakan pengusaha kedai roti naan berdepan detik cemas apabila disimbah asid semasa memasuki lif di Pangsapuri Laksamana Jaya, Batu Caves, baru-baru ini.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan kejadian itu tular di media sosial selepas dimuat naik individu yang mengaku sebagai kenalan mangsa.

Dalam kejadian itu, rakaman CCTV memaparkan seorang suspek berdiri berhampiran mangsa semasa mereka sekeluarga sedang menunggu lif sebelum menyimbah cecair dipercayai asid sejurus mereka memasuki lif.

Insiden mengakibatkan mangsa Jemilah Sabda yang berusia 60 tahun menderita melepuh di tangan serta cedera pada mata serta turut mengakui trauma dan sukar tidur malam selain turut mengalami pedih berterusan pada bahagian mata kanan.

Manakala suaminya yang merupakan seorang warga Pakistan melecur di bahu kanan sehingga ke belakang badan dan muka.

Sumber : BuletinTv3