Mudah percaya orang! Dapat ‘order’ 720 set makanan, peniaga pasrah ditipu pelanggan


Gara-gara mudah mempercayai orang, seorang peniaga makanan berdepan pengalaman ditipu apabila pelanggan tidak mengambil tempahan yang sudah disiapkan.

Menurut laporan mStar, Aishah Nita berkata, pengalaman sebegitu dilalui buat kali pertama selepas hampir sembilan tahun melakukan perniagaan kedai makan di sebuah medan selera di Gerik, Perak.

Dapat ‘order’ 720 set makanan
Bercerita tentang insiden itu, Aishah berkata dia menerima tempahan bagi menyiapkan makanan untuk tiga hari yang berjumlah 720 set daripada seorang individu.
@aishah.gemuk.ibuanak5 15/7/23 #fypシ゚viral #carirezekihalal #redha #ujian ♬ bunyi asal - Aishah Nita Sri Tawai🇹🇭🇲🇾

“Saya dihubungi oleh individu berkenaan pada 14 Julai lalu, meminta menyediakan set makanan untuk tiga hari sebanyak 240 set setiap hari.

“Orang tu minta 120 set untuk makan tengah hari, dan 120 set lagi untuk makan malam. Tak tahu kenapa, terdetik dah dalam hati perasaan kurang enak. Suami pun kata mintalah deposit.

“Tapi entah kenapa saya tak minta deposit kali ini. Mungkin sebab percayakan kata orang tu yang beritahu tempahan untuk askar.

“Saya kata dekat suami, kita tawakal sajalah. Kalau mereka datang ambil, itu rezeki kita… kalau tak ambil, kita sedekah. Saya tak mahu berburuk sangka,” katanya.

Dia dan pembantunya kemudian gigihkan menyiapkan 120 set makanan tengah hari pada hari pertama namun hampa apabila tiada kelibat pelanggan bagi mengambil tempahan tersebut.

“Sebelum dia datang ambil tempahan pukul 1 tengah hari, dia ada hubungi minta pihak kami belikan bekas makanan plastik. Dia minta kami hubungi pihak syarikatnya pula untuk itu.

“Saya mohon maaf kepadanya dan beritahu tak dapat nak bantu beli. Tunggu punya tunggu, waktu yang dijanjikan, dia tak datang ambil makanan.

“Tengok-tengok nombor kami dah kena sekat. Sebenarnya terkilan sedikit tapi dalam masa yang sama, saya bersyukur sebab tak sempat siapkan yang 120 set lagi untuk makan malam,” ujarnya.

Pasrah ditipu pelanggan
Selepas mengalami kerugian kira-kira RM650, dia dan suami menyedekahkan set makanan yang berisi nasi putih, kari ayam, sayur campur dan sambal belacan itu kepada golongan sepatutnya.
@aishah.gemuk.ibuanak5 Membalas kepada @user952970267359 ♬ มองนานๆ - FLI:P

Sementara itu, Aishah mengakui insiden terbabit adalah pengajaran untuk dirinya selain turut berkongsi di aplikasi TikTok sebagai peringatan kepada peniaga lain.

“Bila baca komen, ada juga peniaga yang alami nasib seperti saya… ditipu pelanggan kerana percaya. Saya ni kadang mudah kasihankan orang.

“Apa yang boleh diambil pengajaran selepas ini, janganlah mudah percaya sesuka hati kepada orang,” kongsinya.

Sumber: mStar, TikTok Aishah Nita Sri Tawai, Ohmymedia.cc