Kredit e-tunai RM100 untuk dewasa B40, M40

ANWAR menyampaikan ucapan pada Majlis Peluncuran Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat di Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, hari ini. FOTO Bernama


Kuala Lumpur: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan akan menawarkan kredit e-tunai RM100 kepada semua rakyat dewasa di negara ini yang berpendapatan tahunan RM100,000 ke bawah.

Perdana Menteri berkata, inisiatif membabitkan peruntukan sekitar RM1 bilion itu akan memanfaatkan lebih 10 juta rakyat berusia 21 tahun ke atas, merangkumi golongan B40 dan M40.

Katanya, inisiatif e-tunai kepada golongan dewasa itu diumumkan selepas kerajaan melihat kejayaan dan impak besar program e-tunai kepada masyarakat.

"Melihat akan kejayaan dan impak besar program e-tunai kepada masyarakat, Kerajaan bersetuju untuk menawarkan kredit e-tunai sebanyak RM100 kepada semua rakyat dewasa Malaysia yang berpendapatan RM100,000 setahun dan ke bawah.

"Bilangan penerima yang layak dianggar melebihi 10 juta rakyat iaitu merangkumi golongan B40 dan M40 dengan dana sekitar RM1 bilion," katanya ketika berucap dalam Majlis Peluncuran Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat di sini, hari ini.

Sumber : Harian Metro