Kerajaan tak keberatan KWSP laksana pengeluaran bulanan | Semak Syarat Kelayakan


KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak mempunyai halangan terhadap cadangan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk menjadikan pengeluaran secara berkala atau bulanan apabila mencecah usia persaraan 55 tahun yang ketika ini adalah secara sukarela kepada mandatori bagi ahli baharu pada masa depan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata ketika ini perkara itu masih di peringkat akhir.

"Saya tidak ada keberatan. Ia mengikut keupayaan KWSP. Jika kita dengar ucapan (Datuk Seri) Amir Hamzah (Ketua Pegawai Eksekutif KWSP) tadi, ada beberapa kekangan terutama dalam kalangan mereka yang ada simpanan yang terlalu kecil," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa Ke-10 2023 (ISWC 2023) dan melancarkan aplikasi i-Akaun KWSP di sini, hari ini.

Yang turut hadir Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa dan Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Semalam Amir berkata, KWSP tidak menolak kemungkinan untuk mempertimbangkan menjadikan pilihan pengeluaran secara berkala atau bulanan apabila mencecah usia persaraan 55 tahun yang ketika ini adalah secara sukarela kepada mandatori bagi ahli baharu pada masa depan.

Beliau berkata, pengeluaran secara berkala itu dilihat mampu memberi peluang kepada ahlinya menguruskan wang persaraan dengan lebih baik.

Jelasnya, pengeluaran berkala atau secara bulanan itu juga memberi peluang kepada ahlinya terus menikmati dividen tahunan dengan baki simpanan yang ada.

Katanya, ketika ini, pengeluaran secara bulanan itu adalah dibuat secara sukarela dan menuju ke depan pihaknya boleh melihat sama ada untuk menjadikannya secara mandatori bagi ahli baharu.