Kanak-kanak perempuan maut, basikal langgar lori sampah - Info Malaysia

KANAK-kanak maut basikal terlanggar lori sampah. FOTO Ihsan Pembaca

Seremban: Seorang kanak-kanak perempuan maut selepas basikal yang ditungganginya dipercayai terlanggar tayar belakang sebuah lori sampah di Taman Pinggiran Felda Sungai Kelamah, Gemas pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Tampin Superintendan Anuwal Ab Wahab berkata, dalam kejadian pada kira-kira 11.30 pagi itu, mangsa Aminah Mohd Hafis yang berusia tujuh tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.

"Siasatan awal mendapati, lori sampah jenis Mitsubishi yang dipandu lelaki berusia 55 tahun sedang memasuki selekoh untuk mengutip sampah di kawasan berkenaan sebelum mangsa yang dari rumahnya secara tiba-tiba meluru sehingga terlanggar bahagian kanan tayar lori terbabit.

"Pemandu lori itu kemudiannya turun dan mendapati penunggang basikal tersebut berada di bawah tayar belakangnya," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata mayat mangsa dibawa ke Hospital Tampin untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sumber : Harian Metro