i-Sayang KWSP : Syarat, Kelebihan & Cara Permohonan

Telegram Rasmi 👆

i-Sayang KWSP. Kumpulan Wang Simpanan Pekerja / Employees Provident Fund (EPF) telah melancarkan kemudahan i-Sayang sebagai sebahagian daripada usaha untuk membantu meningkatkan kualiti kehidupan rakyat dan khususnya ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja.

Pengerusi, Ahmad Badri Mohd Zahir berkata kemudahan ini akan membenarkan pemindahan secara sukarela sebanyak 2% dari akaun suami ke akaun isteri.

i-Sayang juga adalah sebagai tanda penghargaan dan kasih sayang suami kepada isteri tercinta.

Buat wanita-wanita yang sentiasa bekerja keras dan berusaha memberikan yang terbaik untuk diri sendiri dan keluarga, pastikan masa depan anda terjamin dengan adanya simpanan persaraan.

Berikut dikongsikan lebih lanjut tentang skim ini untuk makluman bersama.

i-Sayang KWSP
i-Sayang merupakan inisiatif yang diperkenalkan oleh Kerajaan bagi memberi pilihan kepada suami (pemberi) untuk memindahkan 2% caruman syer pekerja yang diterima daripada majikan ke dalam akaun KWSP isteri (penerima).


Kelebihan & Ciri-Ciri Skim i-Sayang KWSP
Berikut dikongsikan kelebihan dan ciri-ciri skim i-Sayang KWSP:

- Pindahan 2% caruman syer pekerja suami ke akaun KWSP isteri.
- Permohonan adalah secara sukarela daripada suami dan pindahan akan dilakukan secara automatik setiap bulan apabila adanya caruman dari majikan yang dikreditkan ke dalam akaun KWSP suami.
- Pindahan caruman ini tidak boleh dibatalkan kecuali berlakunya penceraian atau kematian isteri (penerima).
- KWSP membahagikan caruman i-Sayang sebanyak 2% ke dalam akaun isteri (penerima) dengan mengkreditkan 70% ke dalam Akaun 1 dan 30% ke dalam Akaun 2.

Syarat Kelayakan
SUAMI – PEMBERI
- Warganegara Malaysia atau bukan warganegara
- Ahli KWSP
- Belum mencapai umur 75 tahun
- Perkahwinan telah didaftarkan di bawah undang-undang Malaysia

ISTERI – PENERIMA
- Warganegara Malaysia
- Ahli KWSP
- Belum mencapai umur 75 tahun
- Perkahwinan telah didaftarkan di bawah undang-undang Malaysia

Cara Membuat Permohonan
Permohonan pendaftaran i-Sayang dibuat secara sukarela oleh suami (pemberi) melalui dua (2) saluran berikut:

- i-Akaun (Ahli); ATAU
- Pejabat KWSP yang berhampiran berserta dengan Borang Permohonan Pendaftaran i-Sayang – KWSP 16G (SY) yang telah lengkap diisi.
Tiada sebarang dokumen sokongan yang diperlukan semasa proses pendaftaran i-Sayang.

Pembatalan i-Sayang KWSP
Pembatalan tidak boleh dilakukan terhadap pendaftaran i-Sayang yang telah diluluskan tanpa apa-apa sebab. Suami (pemberi) hanya boleh membuat pembatalan jika berlaku penceraian atau kematian isteri (penerima).

Sekiranya berlaku penceraian atau kematian isteri (penerima), suami (pemberi) perlu hadir segera ke kaunter KWSP untuk membuat permohonan pembatalan. Kelewatan dalam memaklumkan perkara ini kepada KWSP akan mengakibatkan pemindahan caruman terus dibuat ke dalam akaun isteri (penerima).

Maklumat Lanjut
Maklumat lanjut berkaitan i-Sayang boleh diperoleh melalui saluran-saluran berikut:

- Laman web rasmi KWSP di https://www.kwsp.gov.my; ATAU
- Pusat Pengurusan Perhubungan KWSP di talian 03-89226000; ATAU
- Cawangan KWSP yang berhampiran.