Ibu Pelajar Cemerlang 11A SPM Meninggal Dunia - Info Malaysia

GAMBAR kenangan muhammad Syahril menjaga ibunya yang sakit. FOTO Nor Amalina Alias

Bachok: Ibu kepada pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang mendapat 11A, Muhammad Syahril Saidi, 18 meninggal dunia, malam ini.

Allahyarhamah Tuan Faridah Tuan Ismail, 53, meninggal dunia kira-kira 8 malam.

Penghulu Mukim Kandis, Razali Yasod berkata, mengesahkan kejadian dan berkata, dia mengetahui berita kematian ibu pelajar cemerlang itu Maghrib tadi.

Katanya, dia terus ke rumah Syahril dan setakat ini, lebih 30 ahli keluarga dan orang ramai hadir ke rumah pelajar berkenaan di Kampung Kandis.

"Difahamkan jenazah akan disolatkan di sini sebelum dikebumikan di Kampung Padang Lati, iaitu kampung asal arwah.

"Ketika ini saya masih berada di rumah Syahril untuk membantu dengan ahli keluarga lain," katanya ketika dihubungi, tadi.

Terdahulu, kisah Syahril tular selepas pengorbanan pelajar Sekolah Menengah Ugama (A) Darul Iman, Beris Lalang itu menjaga ibu yang sakit namun berjaya memperoleh keputusan semua A dalam SPM yang diumumkan, Khamis lalu.

Syahril menerima keputusan SPM daripada pihak sekolah yang hadir ke rumahnya kerana dia tidak dapat ke sekolah kerana menjaga ibunya yang tidak sihat kerana sakit angin Ahmar sejak 2019.

Pemergian Tuan Faridah yang dipanggil Umi oleh Syahril turut dikongsi pemimpin setempat dan laman kumpulan di media Sosial seperti Perantau Bachok sejak malam tadi.

Sumber : Harian Metro