Hapus pengelasan B40, M40 dan T20 bolehkan garis kemiskinan dikemas kini lebih spesifik - Info Malaysia

0
Telegram Rasmi 👆
Penghapusan kelas secara berperingkat akan membolehkan garis kemiskinan negara dikemas kini secara lebih spesifik bagi membolehkan bantuan kerajaan pada masa depan sampai kepada golongan yang benar-benar layak. - Gambar hiasan/BERNAMA

KUALA LUMPUR: Penghapusan kelas B40, M40 dan T20 secara berperingkat mulai tahun depan akan membolehkan garis kemiskinan negara dikemas kini secara lebih spesifik bagi membolehkan bantuan kerajaan pada masa depan sampai kepada golongan yang benar-benar layak.

Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan Universiti Teknologi Mara Sabah, Jain Yassin berkata, ketika ini, kaedah yang diguna pakai untuk menentukan garis kemiskinan adalah bersandarkan kepada jumlah pendapatan isi rumah semata-mata tanpa melihat komitmen yang ditanggung rakyat.

Beliau berkata, dalam menilai garis kemiskinan, pelbagai faktor seharusnya diambil kira termasuk pendapatan bersih dan kuasa beli kerana tidak semestinya kuasa beli mereka yang berpendapatan tinggi adalah tinggi.

"Sebagai contoh, ada individu yang dikategorikan sebagai M40, boleh tergolong dalam B40 jika kuasa beli atau pendapatan bersih mereka rendah selepas mengambil kira jumlah komitmen seperti rumah dan kereta yang perlu dibayar.

"Begitu juga dengan golongan B40. Ada yang tinggal di luar bandar dan berupaya menjalankan lebih daripada satu perniagaan untuk menambah pendapatan sedangkan individu yang bekerja dalam sektor kerajaan contohnya, sukar untuk ada perniagaan sendiri.

"Jadi untuk mengatakan bahawa semua B40 layak dan M40 pula tidak layak menerima bantuan kerajaan adalah satu persepsi yang salah. Ia perlu diubah untuk memberi keadilan kepada semua pihak," katanya kepada Bernama.

Pada Rabu lepas, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, kerajaan cuba meminimumkan kesilapan pengecualian subsidi yang berlaku akibat pengelasan kategori gaji dan untuk itu, semua pihak bakal melihat peralihan daripada subsidi menyeluruh manakala pengelasan B40, M40 dan T20 dihapuskan secara berperingkat mulai 2024.

Pensyarah Program Sosiologi dan Antropologi Sosial, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Malaysia Sabah, Pauline Yong Pau Lin pula berkata, apa jua pendekatan yang ingin digunakan oleh kerajaan dalam menentukan kelayakan seseorang menerima bantuan atau subsidi haruslah tidak bersifat 'one size fits all'.

"Ini kerana kalau kita lihat kepada usaha pembasmian kemiskinan dulu, ada inisiatif telah berjaya dan ada sebahagian pula didapati tidak berjaya... kenapa tidak berjaya, kerana disebabkan polisi kita terlalu bersifat one size fits all sedangkan tidak semua orang miskin disebabkan oleh satu isu tertentu sahaja," katanya.

Justeru, beliau berharap kerajaan dapat melibatkan pelbagai pihak untuk mendapatkan input bersama dalam merangka strategi dan polisi yang sesuai bagi menangani isu kelompangan berhubung garis kemiskinan.

Bagi eksekutif pemasaran, Hamizah Badiran, 37, pelbagai kayu ukur boleh digunakan untuk penyaluran bantuan kerajaan seperti menyemak dan mengemas kini data tertentu termasuk jumlah tanggungan, lokaliti serta kos sara hidup.

"Bagaimana mereka (kerajaan) hendak mendapatkan maklumat ini, terpulang kepada cara mereka sendiri asalkan pada akhirnya, mereka tahu apa masalah sebenar yang dihadapi sesebuah keluarga sebelum menentukan bantuan yang bersesuaian," katanya.

Sumber - BERNAMA
Tags:

Catat Ulasan

0Ulasan

Terima kasih

Catat Ulasan (0)

#buttons=(Amin) #days=(20)

Semoga dipermudahkan segala urusan kita hari ini. Learn more
Ok, Go it!