Remaja Bangladesh terperangkap dalam kontena, mati lemas | Info Malaysia


Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bersama Ratul Islam Fahim pada 21 Februari lalu sebelum remaja itu pulang ke Bangladesh. - Foto Twitter Saifuddin Nasution

CHITTAGONG: Remaja lelaki warga Bangladesh yang dihantar pulang Februari lalu oleh Kerajaan Malaysia selepas ditemui dalam sebuah kontena di Pelabuhan Klang, meninggal dunia.

Mengikut laporan Bdnews24.Com hari ini, yang memetik kenyataan polis tempatan, Ratul Islam Fahim, lemas ketika mandi seorang diri di kolam berhampiran rumahnya di Monohargonj di daerah Cumilla semalam.

Bapanya Faruk Mia memberitahu polis anak sulungnya daripada tiga adik beradik lelaki menghidap masalah mental, selain tidak tahu berenang.

Menurut Faruk Mia yang bekerja sebagai buruh, Ratul Islam sedang mandi seorang diri kerana semua orang berada di sawah untuk menuai padi.

"Saya sangat sedih," katanya.

Memetik laporan sama, Ratul Islam dikebumikan tanpa pemeriksaan bedah siasat selepas keluarganya mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa tempatan.

Polis tempatan dilaporkan berjanji menjalankan siasatan menyeluruh kejadian itu.

Sebelum ini, kisah remaja berusia 16 tahun itu menarik perhatian media antarabangsa selepas ditemui dalam sebuah kontena selama enam hari tanpa makanan dan minuman.

Ratul Islam ditemui dalam kontena di sebuah dermaga di Pelabuhan Klang pada 17 Januari lalu.

Dia memberitahu pihak berkuasa, dia bermain dalam kontena berkenaan dengan rakannya di Chittagong, sehingga menyedari dirinya terkunci di dalam.

Remaja itu mendapatkan rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah di Klang, sebelum ditempatkan sementara di bawah jagaan Yayasan Chow Kit.

Dia kemudiannya dihantar pulang pada 22 Februari lalu selepas Kementerian Dalam Negeri mengatur untuk mendapatkan dokumennya daripada Suruhanjaya Tinggi Bangladesh di Malaysia. - AGENSI