Lelaki maut, bakal tunang parah nahas kenderaan bertembung | Info Malaysia

Kereta Proton Wira yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 105, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan. - Foto NSTP/Rosli Ilham

KEMAMAN: Seorang lelaki maut manakala bakal tunangnya parah selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 105, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, berhampiran Terminal Minyak Mentah (TCOT), dekat Kerteh, malam tadi.

Dalam kemalangan kira-kira jam 11 malam, Muhammad Alif Hafizzudin Samsul, yang beralamat di Kampung Bukit Kuang Kemaman, maut di tempat kejadian.

Bakal tunang mangsa, berusia 20-an dan berasal dari Kampung Seberang Pintasan Dungun cedera parah dan dihantar ke Hospital Kemaman untuk rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan, berkata ketika kejadian, kedua-dua mangsa menaiki kereta jenis Proton Wira dari arah Kerteh menghala ke Dungun.

Menurutnya, kemalangan itu dipercayai berlaku apabila sebuah kenderaan pelbagai guna, MPV jenis Mazda dari arah Dungun ke Kemaman dipercayai hilang kawalan sebelum melepasi pembahagi jalan.

"MPV terbabit kemudiannya memasuki laluan kanan jalan dan keadaan itu menyebabkan kereta yang dipandu
mangsa gagal mengelak lalu bertembung dengan MPV terbabit.

"Pertembungan kuat itu menyebabkan kereta Proton Wira yang dipandu mangsa remuk dan terbalik," katanya.

Hanyan berkata, ketika kejadian, mangsa dikatakan dalam perjalanan menghantar tunangnya pulang ke Dungun selepas membeli cincin pertunangan mereka di Kemaman.

"Sepasukan anggota Bomba dari Balai Bomba Dan Penyelamat Kerteh dipanggil dan pasukan mengambil masa 30 minit bagi mengeluarkan mangsa tersepit.

"Mangsa yang mengalami kecederaan di bahagian kepala dan badan disahkan meninggal oleh pegawai perubatan di tempat kejadian," katanya.

Katanya, wanita terbabit yang parah di bahagian muka dan kepala kemudiannya, dibawa dengan ambulans ke Hospital Kemaman untuk rawatan lanjut.

"Mayat mangsa dibawa ke Bilik Forensik, Hospital Kemaman untuk siasatan lanjut sebelum diserahkan kepada ahli keluarganya untuk urusan pengkebumian

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.