Hanya mampu hadiahkan durian untuk cikgu - Info Malaysia

0
KHAIR Al Maysurah (kanan) menghadiahkan sebiji durian jenis kucing tidur buat guru tadikanya. FOTO Ihsan Nurul Maizatul Shafinaz.

Muar: Sepanjang enam tahun bertugas sebagai guru di Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas), tahun ini meninggalkan kenangan indah buat Nurul Maizatul Shafinaz Ahmad.

Ini kerana buat pertama kalinya Nurul Maizatul Shafinaz, 31, menerima hadiah istimewa sempena hari guru daripada anak muridnya iaitu durian jenis kucing tidur.

Nurul Maizatul Shafinaz menerima hadiah raja buah itu yang dimuatkan dalam beg plastik daripada Khair Al Maysurah Azman, 5, pada Khamis lalu.

Malah, pembantunya juga menerima sebiji durian jenis sama.

Guru Tabika Kemas di Parit Jamil itu mendapat perhatian selepas berkongsi video menerima hadiah berkenaan di TikTok, malah warganet turut memuji kanak-kanak perempuan itu yang menghargai gurunya.

Berkongsi kisah berkenaan, Nurul Maizatul Shafinaz berkata, dia sangat terharu dan menghargai hadiah pemberian muridnya itu biarpun terkejut kerana belum pernah menerima buah tangan seumpama itu.

Menurutnya, mereka tidak melakukan sambutan hari guru secara khusus pada 16 Mei setiap tahun tetapi anak muridnya tetap mengingatinya dengan ucapan dan hadiah seperti coklat dan bunga.

"Tetapi tahun ini hadiah yang diterima sangat unik dan terkejut juga. Tak sangka Khair Al Maysurah akan memberikan durian kepada saya tetapi saya sangat hargai usahanya dan keluarga, kebetulan saya juga suka durian.

"Saya juga membawa kanak-kanak itu ke Tabika dan turut menghantar pulang ke rumah selepas tamat kelas setiap hari sejak beberapa bulan lalu kerana rumahnya agak jauh dan kebetulan kereta bapanya rosak, (dan) belum dibaiki.

"Apabila ibu Khair Al Maysurah beritahu ada hadiah hari guru untuk saya dan cakap mereka hanya boleh beri itu (durian), sangat buat saya terharu. Mereka bukanlah orang berada dan mengambil upah menjaga kebun saudara saja," katanya.

Menurutnya, sebolehnya dia tidak mahu anak murid terlalu berusaha memberikannya hadiah kerana dia mengajar di kampung dengan kebanyakan ibu bapa murid hanya bekerja kampung dan suri rumah.

"Saya tidak mahu mereka rasa terbeban membeli hadiah kerana keutamaan saya adalah mahu semua murid di sini mendapat pendidikan awal yang terbaik sebelum ke sekolah kebangsaan," katanya.

Sumber : Harian Metro 
Tags:

Catat Ulasan

0Ulasan

Terima kasih

Catat Ulasan (0)

#buttons=(Amin) #days=(20)

Semoga dipermudahkan segala urusan kita hari ini. Learn more
Ok, Go it!