Cuti-Cuti Cikgu 'hadiah' untuk guru rehatkan minda - Info Malaysia

0
MELAKA: Peluang guru merehatkan minda melalui Program Cuti-cuti Cikgu Mampu Milik adalah antara 10 prakarsa atau inisiatif yang diumumkan Kementerian Pendidikan (KPM) semalam, dalam usaha memperkasakan lagi aspek kebajikan golongan pendidik di negara ini.

Ia terkandung dalam penambahbaikan Standard Guru Malaysia 2.0 dan program itu akan dilaksanakan dengan kerjasama rakan strategik dengan menyediakan pakej percutian istimewa kepada guru.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata langkah itu sebagai usaha untuk memberi semangat baharu kepada guru, sekali gus dianggap hadiah kepada golongan itu sempena sambutan Hari Guru tahun ini.

Beliau berkata, sembilan prakarsa lain untuk guru di seluruh negara ialah penambahbaikan Surat Pekeliling Ikhtisas Bilangan 5/2002 berhubung Lawatan Sekolah Pada Hari Persekolahan, diikuti peluasan Sekolah Komprehensif K9 dengan pertambahan 10 sekolah lagi bagi mengatasi isu keciciran murid khususnya di kawasan pedalaman dan Orang Asli.

Katanya, Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK) juga akan diperluaskan ke Sabah.

"Prakarsa lain ialah KPM bersama Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) akan terus memperkasa pengurusan pengambilan pegawai perkhidmatan pendidikan, diikuti kebenaran dan kelonggaran pemakaian baju korporat rasmi KPM sewaktu bertugas serta pemansuhan kutipan sumbangan Hari Guru," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian sambutan Hari Guru peringkat kebangsaan Kali Ke-52 yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, KPM juga akan mempertingkatkan peranan kumpulan Guru Insani Malaysia dan Yayasan Guru Tun Hussein Onn (YGTHO) bagi melonjakkan lagi profesionalisme guru, selain menjaga kebajikan guru.

Katanya, bagi prakarsa terakhir adalah bagi membantu mengurangkan kos sara hidup, merancakkan ekonomi negara dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Tags:

Catat Ulasan

0Ulasan

Terima kasih

Catat Ulasan (0)

#buttons=(Amin) #days=(20)

Semoga dipermudahkan segala urusan kita hari ini. Learn more
Ok, Go it!