Wan Aslam Zakaria dan isterinya, Siti Norraihan Mohd Amin bersama anak mereka, Wan Muhammad Naail yang menghidap penyakit jarang jumpa, Spinal Muscular Athropy (SMA) Type 1.
Kuala Lumpur: "Sejujurnya saya tak terkata kerana awalnya rasa macam mustahil tetapi dengan izin Allah yang menggerakkan hati penderma, syukur semuanya dipermudahkan hingga sasaran kutipan dana akhirnya dapat dicapai semalam," kata Wan Aslam Zakaria.
Wan Aslam, 30, adalah bapa kepada Wan Muhammad Naail berusia 10 bulan yang menghidap penyakit jarang jumpa, Spinal Muscular Athropy (SMA) Type 1 hingga mengakibatkan ototnya semakin melemah dan sukar bernafas.
Bapa tiga anak itu mengesahkan, dana bernilai RM9.28 juta bagi membiayai kos suntikan Gene Therapy Zolgensma bagi menghentikan proses kemerosotan fungsi otot bayinya itu, sudah mencukupi semalam hasil keprihatinan rakyat Malaysia termasuk selebriti, usahawan serta pempengaruh.
"Terima kasih kami ucapkan kepada semua rakyat Malaysia. Memang kami sekeluarga tidak mampu membalas jasa kalian, tetapi kami doakan semoga Allah membalas dengan kebaikan dunia dan akhirat.
"Kami juga terharu dan berterima kasih dengan Misi Rakyat terutama pengasasnya, Nur Ahmad Faiz Mohd Azmi yang bersusah payah menjalankan kempen ini.
"Walaupun tidak kenal, namun dia sanggup membantu kami menjalankan kempen ini tanpa mengenakan sebarang bayaran.
"Dengan berkat usaha dan sumbangan kalian, insya-Allah Naail semakin sembuh dan dapat membesar dengan baik seperti kanak-kanak lain seterusnya boleh menyumbang bakti kepada rakyat Malaysia suatu hari nanti," katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Mengulas mengenai tarikh prosedur suntikan itu, Wan Aslam berkata, bayinya akan menjalani prosedur pertama iaitu pengambilan sampel darah di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Isnin depan.
"Sampel darah ini akan dihantar ke Amsterdam, Belanda untuk menentukan sama ada keadaan Naail sesuai atau bersedia untuk menerima suntikan berkenaan.
"Kami juga masih menunggu maklum balas sebut harga sebenar ubat berkenaan dari pengeluar ubat.
"Selepas semuanya selesai, insya-Allah Naail akan menjalani prosedur itu di PPUM pada masa ditetapkan nanti," katanya.
Katanya, jika ada lebihan sumbangan, pihak Misi Rakyat akan mendermakan dana itu kepada penerima lain yang memerlukan.
.Sebelum ini Harian Metro melaporkan, Naail yang didiagnos penyakit itu sejak usianya empat bulan bergantung sepenuhnya dengan alat bantuan pernafasan dan minum susu dengan tiub yang dipasang melalui hidung ke perut.
Kempen kutipan dana dengan sasaran RM9.28 juta itu digerakkan Misi Rakyat sejak 14 April lalu.
Semakan Harian Metro setakat petang ini mendapati, jumlah kutipan untuk Naail yang dipaparkan di laman itu sudah mencecah lebih RM9.42 juta.
Semalam, ibu Naail, Siti Noraraihan Mohd Amin,30, di laman Instagram turut berkongsi tangkap layar nama penderma terakhir yang melengkapkan kutipan itu iaitu Hafiz Mahamad serta seorang usahawan terkemuka dikenali Ayuni dengan sumbangan masing-masing RM50,000.
Sumber : Harian Metro
Terima kasih