30 hektar hutan terbakar di Pekan | Info Malaysia

GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP

Kuantan: Kira-kira 30 hektar kawasan hutan berhampiran Ladang KMT Jalan Pekan-Nenasi, Pekan dilaporkan terbakar akibat cuaca panas, hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Datuk Dr Wan Mohammad Zaidi Wan Isa berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berkaitan kejadian kira-kira 7.55 pagi.

Beliau berkata seramai 26 pegawai dan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Pekan, Peramu, Nenasi serta Gebeng bergegas ke lokasi kejadian bagi operasi memadam yang masih dilakukan sehingga kini.

"Lokasi kebakaran adalah kawasan tanah gambut, jadi bila cuaca sangat panas dan terdapat punca nyalaan, ia mengakibatkan kawasan belukar itu mudah terbakar," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Selain bomba, operasi pemadaman turut menerima bantuan daripada 11 pekerja ladang selain badan bukan kerajaan (NGO) yang menerbangkan dron bagi memantau lokasi kebakaran dari udara.

Tiada mangsa dilaporkan terbabit dalam kejadian itu.

Sumber - Harian Metro