'Semua organ dalaman, jantung anak saya hangus' - Wanie

Muhamad Syamil Aqil, 11, (hadapan kanan) menghembuskan nafas di Klinik Kesihatan Balai dekat Kuala Krai pada jam 9.27 pagi akibat strok haba dan dehidrasi. NSTP/ ihsan keluarga

KOTA BHARU: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun meninggal dunia disyaki akibat strok haba dan dehidrasi, kelmarin.

Kanak-kanak berkenaan, Muhamad Syamil Aqil, menghembuskan nafas terakhir di Klinik Kesihatan Balai dekat Bachok, jam 9.27 pagi.

Menceritakan perkara itu, ibu kanak-kanak berkenaan, Wanie Alias, 32, berkata, anaknya sebelum itu iaitu pada Hari Raya Aidilfitri pertama dan kedua masih sihat dan aktif beraya bersama adik-beradik dan saudara-mara.

Katanya, anak sulung daripada tiga beradik itu sangat aktif apabila dapat bermain basikal sebelum demam dan cirit-birit pada hari raya ketiga.

"Saya sentiasa memantau keadaan anak pada setiap jam dan mendapati suhunya sekitar antara 37 hingga 38 darjah Celcius.

"Pada hari raya keempat selepas Subuh, saya lihat keadaan anak lemah sebelum mahu membawa anak ke klinik kesihatan, namun ketika sedang bersiap anak secara tiba-tiba diserang sawan.

"Saya terus membawa anak ke Klinik Kesihatan Balai dan sampai di sana doktor terus memberi oksigen dan branula untuk masuk air. Namun, tekanan nadi anak tiba-tiba terhenti dan anak didapati pengsan," katanya di sini, hari ini.

Wanie berkata, doktor berusaha melakukan yang terbaik apabila memberikan bantuan kecemasan resusitasi kardiopulmonari (CPR).

Katanya, beliau dan suami terpaksa reda apabila anak mereka gagal diselamatkan apabila menghembuskan nafas terakhir 9.27 pagi.

Beliau berkata, jenazah anaknya kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk bedah siasat dan hasilnya mendapati anaknya meninggal dunia akibat strok haba dan dehidrasi.

"Semua isi di dalam, jantung dan buah pinggang sudah hangus. Begitu juga air dan darah dalam tubuh sudah kering.

"Saya mahu ibu bapa mengambil iktibar dari cerita ini dan jangan bagi anak-anak main panas terik berikutan suhu masa ini sangat tinggi. Bagi anak minum air secukupnya," pesannya.

Mengesahkan perkara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK), Datuk Dr Zaini Hussin berkata, siasatan awal mendapati kanak-kanak lelaki itu meninggal dunia kerana strok haba dan dehidrasi.

"Bedah siasat di HRPZ II keputusan awal mendapati kanak-kanak itu diserang strok haba dan dehidrasi," katanya.