'Rakyat minta pengeluaran bersasar, bukan cagar simpanan KWSP'

Telegram Rasmi Bantuan Kerajaan👇https://t.me/SenaraiBantuanKerajaan

Pemuda Bersatu (Armada) kesal dengan cadangan kerajaan agar simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) boleh digunakan sebagai cagaran pinjaman.

Ketuanya, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata cadangan yang dikemukakan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim itu jelas berbeza dengan apa yang menurutnya sebagai kehendak rakyat, serta apa yang pernah disuarakan presiden PKR itu sendiri sebelum ini.

“Bila rakyat minta pengeluaran KWSP bersasar, apa jawapan menteri kewangan (Anwar)? Dia suruh cagar pula simpanan kita kepada bank.

“Rakyat tengah susah, bagi pengeluaran yang bersasar,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar di Perhimpunan Agung Tahunan Armada Bersatu di Kuala Lumpur, hari ini.

Pada 9 Mac lalu, Anwar ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat mengemukakan cadangan itu yang menurutnya hanya bagi mereka yang benar-benar terdesak dan hanya diberikan kepada pencarum yang mempunyai simpanan mencukupi dalam akaun KWSP.

Cadangan itu dibantah sejumlah pihak, antaranya NGO Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat Malaysia yang menyifatkan ia langsung tidak membantu pencarum yang terhimpit dengan keadaan ekonomi.

Kesatuan Pekerja Bank Sarawak (SBEU) pula berpandangan cadangan itu dibuat tanpa penelitian sewajarnya.

Mengulas lanjut ketika sidang media selepas itu, Wan Fayhsal berkata kerajaan seharusnya membawa cadangan yang lebih baik dan dapat membantu rakyat secara jangka panjang.

"Bukan itu (simpanan KWSP dijadikan cagaran) yang rakyat mahu. Jika tengok semua komen, sekurang-kurangnya oleh netizen, semuanya negatif," katanya lagi.

Sumber : MalaysiaKini