Lans Koperal rayu nak lawat kubur isteri yang maut ditembak

Tertuduh, Mohamad Nizarman (berbaju merah) dibawa keluar dari trak polis sambil dikawal ketat oleh polis bertugas di Mahkamah Kangar. – Foto: NSTP

KANGAR: “Saya nak cakap satu sahaja, saya nak melawat kubur bini (isteri) saya.” Itu permintaan anggota polis berpangkat Lans Koperal yang didakwa atas pertuduhan membunuh isterinya 5 Mac lalu, ketika dibawa keluar dari kandang pesalah Mahkamah Majistret, di sini, hari ini.

Sebelum itu, Mohamad Nizarman Hassim, 27, hanya menjawab faham selepas pertuduhan berkenaan dibacakan di hadapan Majistret Ana Rozana Mohd Nor.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Mohamad Nizarman didakwa membunuh Safsufarnisya Salleh, 26, di sebuah rumah di Kampung Bendang Baru, Simpang Empat di sini sekitar jam 6.45 pagi dan 8.50 pagi.

Oleh itu tertuduh didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilaksanakan oleh Pengarah Pendakwaan Negeri, Mohd Nordin Ismail manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mohd Nordin memohon mahkamah untuk mempertimbangkan supaya tertuduh dihantar ke hospital psikiatri untuk penilaian mental selama sebulan.

Mahkamah kemudian membenarkan permohonan Mohd Nordin dan menetapkan 14 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan penilaian psikiatri tertuduh.

Media sebelum ini melaporkan tertuduh yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis menembak mati isterinya yang juga suri rumah.

Tertuduh dikatakan mengeluarkan pistol Walther P99 dan melepaskan lebih lima das tembakan pada jarak dekat ke arah isterinya.

Tembakan mengenai bahagian muka terutama di bahagian mata sebelah kiri menyebabkan mangsa maut di tempat kejadian. – HARIAN METRO