KWSP | ‘Rakyat Nak Sekarang, Bukan 15 Tahun Lagi’ – Ismail Sabri

Telegram Rasmi Bantuan Kerajaan👇https://t.me/SenaraiBantuanKerajaan

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menggesa kerajaan untuk membenarkan pengeluaran wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) susulan ramai yang memerlukan kewangan secara mendesak ketika ini.

Kata mantan perdana menteri itu, rakyat meminta untuk pengeluaran KWSP adalah untuk kegunaan pada masa sekarang, bukannya pada belasan tahun akan datang.

Ahli parlimen Bera itu berkata kerajaan harus berbincang sekali lagi mengenai KWSP dan bukannya terus ‘menutup pintu’.

“Saya nak ucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana berikan tambahan caruman RM500 kepada pencarum B40. Tetapi duit itu dimasukkan sebagai caruman untuk dikeluarkan sebelum bersara.

“Kalau penyimpan umur 40 tahun, 15 tahun akan datang baru boleh keluarkan RM500. Baguslah, murnilah apa yang kerajaan nak buat itu.

“Tetapi rakyat nak adalah sekarang, bukan 15 tahun akan datang. Yang mereka hadapi kesukaran adalah sekarang.

“Rumah nak dilelong adalah sekarang, anak nak masuk universiti adalah sekarang, dan mereka nak diisytiharkan muflis sekarang.

“Kalau tunggu 15 tahun, rumah dah kena lelong dah (dan mereka) muflis dah,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat pada Selasa.

Kerajaan perlu pertimbang pengeluaran secara bersasar dan bersyarat

Mengulas lanjut, bekas perdana menteri itu berkata pihaknya faham bahawa KWSP adalah kegunaan untuk hari tua namun kerajaan harus mempertimbangkan pengeluaran itu secara bersasar dan bersyarat.

“Yang penting jangan tutup pintu terus, buka dan bincang lagi.

“Saya harap berilah ruang kepada mereka yang memerlukan untuk meneruskan kehidupan mereka. Kalau tidak, ramai yang terjejas,” katanya.

Ismail Sabri berkata pada ketika ini ramai yang memerlukan wang seperti penduduk di Johor yang mengalami bencana banjir.

“Ini di Johor sedang mengalami banjir besar dan akan menyebabkan ramai yang memerlukan kewangan secara mendesak.

“Dulu lepas COVID19, keadaan mendesak, kita bagi (pengeluaran KWSP),” tambahnya.

Oleh yang demikian, beliau berharap agar Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim membawa berita baik kepada penggulungan Belanjawan 2023.

Sumber : Astro Awani