Telegram Rasmi Bantuan Kerajaan👇https://t.me/SenaraiBantuanKerajaan
GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP
Kuala Lumpur: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memperkenalkan i-Sayang, kemudahan yang membolehkan suami untuk memindahkan dua peratus daripada caruman KWSP mereka ke dalam akaun isteri untuk kesejahteraan masa depan pasangan.
Skim i-Sayang dengan usaha sama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) itu adalah selaras dengan komitmen kerajaan dalam memperkasakan hak dan menjaga kebajikan wanita serta menerapkan nilai kekeluargaan selaras dengan konsep Malaysia Madani yang berteraskan keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran.
Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, kemudahan i-Sayang ini sebahagian daripada usaha berterusan KWSP untuk memperluaskan jaringan keselamatan sosial kepada institusi kekeluargaan dan menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia yang tidak mempunyai perlindungan skim keselamatan sosial yang formal, untuk menabung demi masa depan persaraan mereka.
"Dengan membolehkan suami mencarum secara sukarela sebanyak dua peratus caruman bulanan, mereka memberikan peluang kepada isteri mereka untuk mempunyai simpanan jangka masa panjang di samping mendapat akses kepada keselamatan sosial dan kewangan yang berkualiti seperti mana yang dinikmati oleh ahli KWSP.
"Lebih kurang 2.4 juta suri rumah di negara ini tidak bekerja atau berada di luar sektor tenaga buruh, seterusnya tidak mempunyai sebarang bentuk keselamatan sosial, menjadikan mereka lebih rentan terhadap kesulitan dan kejutan kewangan," katanya dalam kenyataan.
Skim i-Sayang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika majlis Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2023 di sini, hari ini.
Hadir sama, Menteri KPWKM, Datuk Seri Nancy Shukri dan Pengerusi KWSP, Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir.
Permohonan i-Sayang boleh dilakukan secara dalam talian melalui i-Akaun KWSP (Ahli), Self-Service Terminal (SST) KWSP, atau di mana-mana cawangan seluruh negara.
Maklumat lanjut mengenai i-Sayang boleh didapati di laman sesawang KWSP di www.kwsp.gov.my, atau hubungi Pusat Pengurusan Pelanggan KWSP di 03-8922 6000.
Sumber : HarianMetro
Terima kasih