Baru-baru ini, tular di media sosial beberapa gambar program Himpunan Pemuda Islam Terengganu (Himpit 2023) yang menampilkan perarakan membawa senjata.
Pihak penganjur juga bersedia memberikan kerjasama kepada pihak polis selepas dipercayai akan disiasat ekoran membawa replika senjata seperti tombak, pedang dan parang sewaktu perarakan.
Tak logik kalau nak siasat
Memetik laporan dari Harian Metro, Ketua Pemuda Pas Terengganu, Mohd Harun Esa mengatakan walaupun tidak logik mereka disiasat, namun bersedia untuk memberikan kenyataan.
“Program Himpit menghimpunkan seluruh jentera pemuda Pas Terengganu diadakan sejak 1991 lagi dan menjadi acara tahunan. Sudah menjadi tradisi lapan Pemuda Pas kawasan membawa replika (pedang dan lembing) serta tema perarakan masing-masing.
“Ada yang membawa tema sukan, pelantar minyak, Wisma Darul Iman bahkan ada yang berkuda pada penganjuran Himpit kali ini,” katanya.
Tiada provokasi, jadi tarikan tersendiri
Jelas Harun lagi, tiada sebarang tindakan provokasi dilakukan malah menjadi tarikan memandangkan masing-masing di setiap daerah menggunakan kreativiti mereka untuk menyertai perarakan tersebut.
“Ada antara mereka yang memulakan persiapan hampir sebulan semata-mata untuk menyertai program kali ini.
“Anggota polis trafik juga ada bersama kami membantu mengawal lalu lintas ketika perarakan setiap kontinjen sedang berlangsung dengan aman,” katanya.
Seperti pertandingan ‘cosplay’
Tambahnya lagi, perarakan tersebut boleh diibaratkan seperti pertandingan ‘cosplay’ yang diadakan di seluruh pelusuk dunia dengan menayangkan replika senjata tajam yang digunakan adiwira kesukaan mereka.
“Bahkan ada filem klasik perjuangan yang ditayangkan dengan menggunakan senjata juga diterima dalam masyarakat.
“Bagaimanapun, kami tetap berterima kasih kepada semua pihak yang memberi publisiti kepada program tahunan Pemuda Pas Terengganu ini secara langsung atau tidak,” katanya.
Ujar pihak mereka lagi, ia bukanlah satu kesalahan kerana tidak membuat sebarang provokasi ataupun kekacauan sama seperti perarakan agama dan kaum lain yang bebas dilakukan pada musim perayaan.
Terdahulu, gambar-gambar ketika perarakan tersebut telah tular di media sosial dan menerima pelbagai maklum balas dari netizen yang terkejut melihat kostum yang digunakan mereka.
Mana tidaknya, ada di antara mereka memakai replika baju besi dengan memegang senjata seperti mahu pergi berperang. Difahamkan, kostum tersebut adalah seperti pakaian yang digunakan sewaktu zaman sahabat-sahabat Rasulullah S.A.W keluar bertempur di medan perang pada dahulu kala.
Sumber: Oh my media & borakdaily.com
Terima kasih