Lelaki Warga Asing Rempuh SJR Ditahan


Suspek (kiri) ditahan dan kereta yang digunakan suspek dirampas bagi membantu siasatan lanjut.

Telegram Orang Sabah : 

LAHAD DATU : Seorang lelaki warga asing ditahan selepas merempuh sekatan jalan raya (SJR) dalam satu operasi bersepadu mencegah jenayah (OBMJ), tengah malam tadi.


Suspek berusia 37 tahun itu merempuh SJR di Kilometer 12 Jalan Lahad Datu – Tawau, kira-kira jam 12.30 tengah malam.

Suspek warga asing cuba melarikan diri selepas merempuh SJR ditahan polis.


Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner DR Rohan Shah Ahmad berkata, ketika kejadian suspek yang memandu kereta jenis Proton Wira Aeroback dalam perjalanan dari Tawau menuju ke Lahad Datu.


Katanya, ketika melalui sekatan jalan raya itu, suspek bertindak merempuh walaupun diarah untuk berhenti bagi tujuan pemeriksaan.


“Akibat daripada rempuhan itu menyebabkan sebuah motosikal milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) jenis Kawasaki EX250 mengalami kerosakan teruk.


“Bagaimanapun lain-lain petugas tidak mengalami apa-apa kecederaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, suspek yang cuba melarikan diri selepas merempuh sekatan jalan raya itu berjaya ditahan.


“Polis turut merampas kereta Proton Wira Aeroback (salon) yang dipandu suspek untuk membantu siasatan.


“Kes disiasat di atas pelbagai kesalahan oleh suspek iaitu Seksyen 180 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat Awam dalam menjalankan fungsi jawatannya, Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan penjawat awam daripada menjalankan kewajipannya.

Selain itu, suspek turut disiasat mengikut Seksyen 26(2) Akta Polis, Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1986 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen,” katanya.


Tambah beliau lagi, suspek akan direman mengikut Seksyen 117 Kanun Keseksaan bagi membantu siasatan yang dijalankan.

Sumber: Sabah post