Benarkan pencarum KWSP keluar simpanan RM10,000

Telegram Rasmi Bantuan Kerajaan

GEORGE TOWN – Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) menggesa Kerajaan Pusat untuk membenarkan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) maksimum RM10,000 atau 50 peratus kepada pencarum yang mempunyai wang simpanan kurang daripada jumlah tersebut.

Naib Presiden Gerakan, Baljit Singh berkata, pengeluaran KWSP itu serba sedikit dapat membantu meringankan bebanan rakyat.

“Inisiatif ini sekali gus dapat meringankan beban mereka dengan kenaikan harga barang keperluan seperti telur, minyak, ayam dan lain-lain.

“Realitinya masih ramai rakyat berharap pengeluaran KWSP dibenarkan lagi terutamanya kepada peminjam bank yang risau Kadar Dasar Semalaman (OPR) akan naik tahun ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Pelbagai pihak menuntut Kerajaan Perpaduan untuk memberi pengecualian pengeluaran wang caruman KWSP kepada golongan yang memerlukannya susulan kenaikan kos sara hidup yang tinggi pada masa ini.

Kerajaan sebelum ini membenarkan pengeluaran caruman KWSP melalui tiga skim iaitu i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra berjumlah RM101 bilion, melibatkan 7.34 juta pencarum sejak pandemik Covid-19 melanda negara dua tahun lalu.

Menurut Baljit, pihaknya mencadangkan Kerajaan Perpaduan untuk berunding dengan KWSP bagi pengeluaran tersebut.

“Saya cadangkan kerajaan boleh membuat pengeluaran KWSP secara bersyarat. Contohnya pencarum hanya boleh keluarkan RM10,000 maksimum dan bagi pencarum yang kurang daripada jumlah tersebut hanya dibenarkan 50 peratus daripada jumlah baki sedia ada,” ujarnya.

Tambahnya, permainan politik patut diberhentikan kerana pilihan raya sudah selesai dan sekarang adalah masa membantu rakyat.

“Gerakan yakin dan percaya inisiatif ini sangat membantu rakyat untuk menjadi wang simpanan juga ekoran daripada kemungkinan berlaku gelombang kedua varian baharu Covid-19,” jelasnya. 

Sumber – KOSMO! ONLINE