Telegram Rasmi Bantuan Kerajaan
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub
JOHOR BAHRU: Kerajaan akan memperkenalkan program Payung Rahmah bagi membantu golongan B40 bersedia mendepani isu kos sara hidup yang dijangka lebih serius tahun ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub, berkata program itu adalah langkah jangka pendek bagi mengurangkan beban sara hidup golongan itu dalam tempoh enam bulan ini, dengan ia dijangka dilaksanakan dalam tempoh 100 hari.
Katanya, program Payung Rahmah yang akan diperincikan lebih lanjut Selasa ini, dalam ucapan Tahun Baru KPDN di Putrajaya itu nanti akan turut membabitkan kerjasama dengan Kementerian Ekonomi, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dan Kementerian Pengangkutan.
"Program Payung Rahmah Kasih Sayang ini adalah inisiatif berfokus selama enam bulan yang menyentuh golongan B40 dan miskin tegar, yang jika tidak dibantu kita bimbang keadaan ekonomi global yang dijangka begitu serius tahun ini menyebabkan golongan ini akan terkesan.
"Program ini membabitkan empat elemen iaitu Bakul Rahmah, Kafe Rahmah, Jualan Murah Rahmah dan Barangan Rahmah bagi menyantuni golongan B40.
"Bakul Rahmah adalah pemberian bakul makanan yang akan diberikan pada setiap bulan manakala perincian Jualan Murah Rahmah akan diumumkan lebih lanjut pada Selasa ini.
"Kita juga ada Barangan Rahmah iaitu pakej 10 barangan asas yang dijual pada harga lebih rendah untuk golongan B40.
"Kafe Rahmah pula adalah khusus bagi pelajar universiti bagi mendapatkan makanan pada harga lebih murah dengan pelajar susah akan dibantu," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis kesyukuran Parti Amanah Negara (AMANAH) Parlimen Pulai, di sini, malam tadi.
Pada 31 Disember lalu, Salahuddin yang juga Timbalan Presiden AMANAH dilaporkan mengadakan perbincangan hati ke hati bersama beberapa pemain industri termasuk pengedar runcit negara bagi melaksanakan inisiatif Bakul Rahmah (Kasih Sayang), khas untuk mereka yang paling memerlukan dalam kalangan B40.
Beliau dilaporkan berkata, kerjasama bagi melaksanakan inisiatif itu diharap dapat membantu rakyat meneruskan kehidupan seharian dalam keadaan ekonomi dunia yang semakin mencabar ketika ini.
Dalam pada itu, Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Pulai dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Jeram berkata, kerajaan telah menetapkan beberapa pelan jangka pendek, sederhana, dan panjang dalam mendepani isu kos sara hidup rakyat.
Katanya, ia termasuk program Payung Rahmah iaitu program jangka pendek yang perlu dilaksanakan dahulu dengan segera sebagai persediaan membantu beban ditanggung rakyat terjejas dalam menghadapi isu kos sara hidup.
"Selain program Payung Rahmah, Menteri di Jabatan Perdana (Ekonomi), Mohd Rafizi Ramli sedang menyiapkan pelan jangka pendek, sederhana dan jangka panjang sebagai strategi menyediakan negara mendepani isu kos sara hidup yang dijangka lebih serius tahun ini.
"Di samping itu, Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan sentiasa diadakan dari masa ke semasa sekali gus membuktikan betapa serius kerajaan mahu mendepani isu kos sara hidup dihadapi rakyat," katanya.
Sumber : Berita Harian Online, Portal Malaysia
4 Jenis Bantuan
- Bakul Rahmah – Pemberian bakul makanan yang akan diberikan pada setiap bulan.
- Barangan Rahmah – pakej 10 barangan asas yang dijual pada harga lebih rendah untuk golongan B40.
- Kafe Rahmah – Khusus bgai pelajar Universiti
- Jualan Murah Rahmah
Terima kasih