Sedar kematian menghampiri, Diana Amir sanggup tinggalkan dunia hiburan

Selebriti Diana Amir atau nama sebenarnya Nurdiyana Amir Hashim mendedahkan dia tidak pernah menyangka sama sekali mengenai penghijrahannya untuk menjadi seorang muslimah yang lebih baik berbanding dengan sebelum ini.

Jelasnya, dia telah membuat keputusan sedemikian apabila telah ditegur oleh orang sekeliling mengenai penampilannya yang tidak menutup aurat dan sejak daripada itu, hatinya mula terdetik untuk berubah.
“Mak mentua tunjuk gambar saya yang tak berhijab. Dia kata semua ini dosa, tetapi masa itu hati saya keras. Saya rasa tak apa-apalah, yang penting saya baik dan tak kacau orang. Apabila orang sekeliling tegur pemakaian saya, jadi masa itu saya mula tersentuh.
“Namun itulah sebabnya, akhirnya selepas tahun 2011, waktu saya nak berhijab, itulah satu benda yang tak dapat dibayangkan sebab saya pernah berfikir begitu dulu,” katanya dalam sebuah program bual bicara bersama Neelofa, baru-baru ini.
Tambah selebriti yang berusia 36 tahun itu lagi, dia sedar bahawa kematian sangat menghampirinya dan bernekad untuk terus memperbaiki diri.
“Agaknya sebelum ini saya fikir hidup lama lagi. Saya fikir kematian itu lama lagi. Saya muda lagi. Yang penting saya buat baik. Namun sebenarnya mati itu yang paling dekat dengan kita.
“Bila saya faham hakikat yang kita ini akan mati juga satu hari nanti dan betapa sayangnya Rasulullah SAW pada kita semua, sebab itulah hati saya yang rasa amat memberontak dahulu boleh berubah sekelip mata.
“Saya terus rasa nak pakai tudung, tak nak buka lagi. Saya terus nak baiki diri,” ujarnya.
Dalam pada itu, Diana turut memaklumka dia tidak mahu berkecimpung lagi dalam dunia hiburan kerana mahu berii tumpuan sepenuhnya kepada dirinya dan agama.

Katanya, dia akan menghabiskan baki tawaran yang sudah diterimanya awal daripada pihak produksi dan selepas itu akan pencen sebagai penggiat seni.

Sekadar info, Diana telah membina rumah tangga bersama Mohd Habibullah A Rahman pada 25 Oktober 2013 dan hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu Khaulah Al Azwar, 7, Khadija Azzehra, 5, dan Muhammad Khalid Al Habib, 3.


 

Sumber: OhMyMedia