SELEPAS dilaporkan sudah mula sedarkan diri dan tidak lagi menggunakan alat bantuan pernafasan sejak Khamis lalu, pelakon Nad Zainal kembali direhatkan akibat keadaan paru-parunya yang belum kuat.
Perkara itu dimaklumkan sendiri rakan artis yang juga pelakon Ungku Ismail yang menziarahinya di hospital pada petang Jumaat.
"Nad Zainal kena intubate semula... Ini adalah kerana paru-parunya belum cukup kuat untuk dia bernafas sendiri walaupun dengan penggunaan high flow oxygen mask di ICU, "katanya.
Ketika ini Nad atau Farah Nadia Zainal Abidin masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pakar KPJ Ampang Puteri.
Dalam pada itu, Ungku berkata, meskipun Nad kembali direhatkan namun kesihatannya menunjukkan perkembangan positif selepas hampir dua minggu dimasukkan ke hospital.
Cumanya, tahap oksigen dalam darah pelakon itu merosot selepas pihak hospital menanggalkan intubate yang disambungkan kepada Nad.
"Disebabkan paras oksigen merosot, pihak hospital mengambil langkah meletakkan Nad dalam keadaan rehat supaya pernafasan lebih terjaga.
"Semalam (Jumaat) dia sudah sedar bagaimanapun oksigen mula merosot pada sebelah malam selepas dia tidak lagi direhatkan," jelasnya.
Untuk rekod, Nad dimasukkan ke hospital berkenaan sejak 20 November lalu akibat jangkitan kuman pada paru-paru.
Ungku Ismail adalah antara rakan artis yang sentiasa berada disisinya sepanjang pelakon itu dimasukkan ke hospital selain menyalurkan maklumat terkini tentang keadaannya dan memohon orang ramai berdoa agar Nad kembali pulih.
Sumber: mStar
Terima kasih