“Panjang ususnya cuma 14cm” - Ibu bayi kembar reda badan anak dipasang wayar, resah gaji suami tak cukup tanggung kos perubatan

0

BERAT mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.

Kegembiraan pasangan ini menerima cahaya mata kembar lelaki dua tahun lalu tidak bertahan lama apabila keluarga kecilnya diuji dengan masalah kesihatan.

Menurut Nur Shahira Anisha Muhamad Zuber, 23, salah seorang daripada anaknya, Aydin Malique Mohamad Iqbal Adib mempunyai masalah usus pendek (short bowel syndrome).

Ketika dihubungi mStar, dia yang senang disapa Anisha berkata penyakit dihidapi anaknya ini didiagnosis sekitar dua minggu selepas dilahirkan bersama abang kembarnya, Aydan Malique pada 12 Jun 2021.

"Saya mula sedar Aydin ada masalah ni apabila dia mula berak berdarah dua minggu selepas bersalin secara operate di Hospital Selayang.

"Selepas bawa si adik (Aydin) jumpa doktor, barulah saya tahu dia ada jangkitan kuman pada usus kecil. Jadi doktor minta buat pembedahan segera.

"Pembedahan pertama dan kedua, Aydin kena potong usus yang berjangkit dekat Hospital Selayang. Kali ketiga pembedahan dilakukan untuk sambung usus yang sihat dan pasang gastrol dekat perut yang dibuat di Hospital Tunku Azizah (HTA). Sekarang ukuran ususnya cuma tinggal 14cm saja," ujarnya.

Menurut Anisha yang menetap di Kampung Melayu, Sungai Buloh, Selangor, anaknya terpaksa ditahan di Hospital Wanita Dan Kanak-Kanak (HTA) di ibu kota lebih satu tahun bagi mendapatkan rawatan sebelum dibenarkan pulang ke rumah.

Sehingga kini, terdapat wayar central venous line (CVL) dan tiub gestrol disambung pada badan Aydin di mana salah satunya dipasang secara terus ke saluran jantungnya.

"Masa dia kena tahan wad tu saya kena teman. Kembar dia (Aydan) ibu mentua yang jaga. Saya bersyukur sangat bila keluarga banyak membantu ringankan beban.

"Nak jaga Aydin tak susah pun cuma saya tetap kena berhati-hati sebab ada dua wayar dekat badan dia. Wayar CVL adalah untuk susu khas TPN (total parenteral nutrition). Tiub gestrol pula untuk susu formula Dupro Step 2 yang dibancuh sendiri.

Aydin dan Aydan merupakan pasangan kembar berumur dua tahun.

"Baru-baru ni berlaku insiden menyebabkan wayar TPN keluar darah. Bila periksa doktor beritahu wayar CVL dah bocor. Jadi Aydin terpaksa ditahan wad untuk tukar wayar baharu pada 9 September lalu," katanya lagi.

Jelas Anisha yang merupakan seorang suri rumah sepenuh masa, setiap bulan dia terpaksa membelanjakan sekitar RM700 bagi menampung kos perubatan anaknya.

Bersyukur dengan sedikit peruntukan dan susu khas dibekalkan oleh pihak farmasi Hospital Kuala Lumpur namun dia mengakui pendapatan suaminya, Mohamad Iqbal Adib Mohd Afzanizam, 24 sebagai penghantar makanan masih kurang mencukupi bagi menyara keluarga.

"Pendapatan kami sekeluarga sekarang ni cukup-cukup makan saja sebab hanya suami saja yang bekerja. Saya terpaksa berhenti sebab kena jaga anak sakit.

"Sebelum ni ada juga minta bantuan zakat tetapi kali terakhir saya terima masa September saja. Sekarang anak saya perlukan barangan untuk dressing.

"Saya tengah cuba cari mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk beri bantuan bagi mendapatkan set kelengkapan itu sebab saya tak mampu nak tanggung sendiri," jelasnya lagi.

Susulan beberapa perkongsian Anisha di TikTok, rata-rata netizen mendoakan kesembuhan anaknya, Aydin.

Dia yang sentiasa bimbang dengan kesihatan anaknya mengharapkan masyarakat terus menitipkan doa agar dia dan suami terus kuat menempuh ujian dan dugaan diberikan olehNya.

Sumber : Mstar
Tags:

Catat Ulasan

0Ulasan

Terima kasih

Catat Ulasan (0)

#buttons=(Amin) #days=(20)

Semoga dipermudahkan segala urusan kita hari ini. Learn more
Ok, Go it!