Lebih 240,000 Permohonan Tanah Sabah Selesai

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Nizam Abu Bakar Titingan

Telegram Orang Sabah : 

KOTA KINABALU : Sebanyak 243,838 permohonan tanah berjaya diselesaikan dalam tempoh 1 Jan 2015 hingga 31 Okt tahun ini, Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah diberitahu pada Rabu.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata jumlah itu menunjukkan pengurangan sebanyak 86.5 peratus iaitu kini hanya tinggal 37,857 permohonan dalam proses diselesaikan, berbanding 281,695 permohonan pada 1 Jan 2015.

“Strategi utama yang telah diambil adalah menyelesaikan tunggakan permohonan tanah di semua daerah dengan melaksanakan inisiatif memproses semua permohonan tanah secara berkelompok berdasarkan kawasan yang dipohon dengan mengaplikasikan teknologi maklumat dan teknologi geospatial terkini.

“Jabatan Tanah dan Ukur akan berusaha untuk menyelesaikan baki tunggakan permohonan tanah tersebut pada tahun 2023,” katanya menjawab soalan lisan Dr. Aliakbar Gulasan (PAS-Dilantik) mengenai strategi kerajaan untuk menyelesaikan isu berkaitan hak milik tanah khususnya di kawasan luar bandar.

Nizam berkata Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) telah merencanakan pelbagai pembaharuan serta pemodenan bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan dan penyampaian. 

Beliau berkata strategi seterusnya adalah mempercepatkan proses pengukuran permohonan tanah melalui kaedah Field to Finish (F2F) iaitu pengukuran lot dan pelan hitungan diselesaikan serentak di lapangan sekali gus memendekkan tempoh memproses pengeluaran geran tanah. 

Katanya penggunaan teknologi Sistem Satelit Navigasi Global (GNSS) yang baru dilaksanakan juga mempercepatkan pengukuran tanah secara berkelompok serta menjimatkan kos.

Selain itu, Nizam berkata menerusi Program Perkhidmatan Tanah Anak Negeri Sabah (PANTAS) yang diwujudkan untuk menangani isu pemilikan tanah Anak Negeri di luar bandar, pengukuran berdasarkan pendudukan di atas tanah sehingga pengeluaran geran tanah ditetapkan dalam tempoh 12 bulan.

Katanya bilangan geran tanah dikeluarkan di bawah PANTAS dari 2012 hingga 31 Okt lepas adalah sebanyak 27,572 geran melibatkan kawasan seluas 42,429.26 hektar dan peratusan pemilikan tanah hak milik Anak Negeri turut ditingkatkan dari 24.5 peratus pada 2010 kepada 42.7 peratus pada 2021 menerusi program itu.

Nizam berkata bagi memastikan semua strategi yang digariskan berjalan lancar, JTU telah menyediakan prosedur operasi standard (SOP) dan menetapkan petunjuk prestasi utama (KPI) bagi setiap bahagian yang terlibat serta melaksanakan pemantauan berkala agar objektif pengeluaran geran tanah dapat dicapai. 

Sumber – BERNAMA