Budak Lelaki 7 Tahun Cedera Diserang Buaya Di Lahad Datu

Telegram Orang Sabah : 

Kanak-kanak berusia tujuh tahun yang diserang buaya di bawah rumahnya di Kampung Air, di Lahad Datu, masih menerima rawatan di hospital.

LAHAD DATU Seorang kanak-kanak lelaki cedera selepas diserang buaya ketika berada di bawah rumahnya, di Kampung Air, di Lahad Datu pada Jumaat.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.55 petang itu, mangsa yang berusia tujuh tahun itu parah di kaki kanan akibat digigit reptilia berkenaan.

Ketua Polis Lahad Datu Rohan Shah Ahmad, berkata ketika kejadian mangsa dikatakan turun ke bahagian bawah rumahnya untuk mengambil ayam.
“Ketika itu, sepupu mangsa telah ternampak seekor buaya yang menghampirinya lalu menjerit untuk memberi amaran kepada mangsa.

“Mangsa kemudian menyelamatkan diri naik ke atas jambatan berhampiran rumahnya namun buaya itu sempat menyerangnya hingga cedera di bahagian kaki sebelah kanan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Rohan Shah berkata, mangsa yang cedera kemudian dibawa ke Hospital Lahad Datu untuk mendapatkan rawatan.

Katanya, mangsa telah menjalani pembedahan di bahagian kaki sebelah kanan dan tulang kakinya didapati retak.

“Mangsa kini masih menerima rawatan di hospital dan keadaannya stabil,” katanya.

Sementara itu, Rohan berkata, pihaknya dengan kerjasama Jabatan Hidupan Liar (JHL) Lahad Datu sudah mengenalpasti 28 sarang buaya di sekitar daerah ini.

Beliau berkata, polis bekerjasama dengan JHL Lahad Datu untuk menjalankan operasi pembanterasan reptilia ganas berkenaan.

Pada 1 Dis lalu, seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun hilang dipercayai dibaham buaya manakala ayahnya parah akibat digigit reptilia berkenaan ketika cuba menyelamatkan anaknya dalam kejadian berhampiran pangkalan Jeti PPM Lahad Datu.

Sumber – FMT, SabahPost