KASIH seorang bapa terhadap zuriatnya tidak ada penghujung.
Dalam memastikan keselesaan anak terutama yang kuat meragam, seorang individu bergelar bapa pasti akan memikirkan cara terbaik untuk mengatasi masalah ini.
Begitu juga dengan Shahrul Hafizi, 24, yang memerah otak mencari kaedah alternatif untuk menyusukan bayinya ketika si isteri sedang letih berpantang.
Dalam satu video tular di TikTok, Shah menggunakan baju T yang ditebuk lubang untuk meletakkan puting botol susu melalui lubang tersebut.
"Masa tu anak saya baru umur dua minggu dan selama ni dia biasa menyusu dengan ibu dia.
"Tapi bila isteri saya penat sebab berpantang, anak saya menangis sebab tak dapat menyusu dengan emaknya.
"Dia tak nak minum guna botol. Mungkin tak biasa lagi. Sebab itu tiba-tiba timbul idea macam ni," kata Shah yang merupakan seorang pencipta kandungan di YouTube.
Ternyata buah fikiran yang tercetus itu mendatangkan hasil dan bayi comel itu percaya dia sedang menyusu badan dengan ibunya.
"Saya cuba dengan cara macam itu, koyakkan sikit baju, keluarkan botol susu ikut lubang supaya bayi rasa macam tengah menyusu dengan ibu.
"Teknik itu berjaya dan dia tak menangis. Tapi lama-lama dia sedar juga itu bukan susu ibu yang sebenar. Jadi kita kena tenangkan dia, pujuk dan bawa jalan-jalan.
"Lepas tu sambung balik menyusu guna teknik tu. Saya ulang-ulang, menyusu, rehat, menyusu, rehat sampai akhirnya ibu dia free nak menyusu sendiri," cerita Shah.
Menurut Shah, dia merasakan tekniknya itu berjaya kerana ia mampu meniru postur ataupun posisi anak ketika sedang menyusu badan.
Baju yang telah diubah suai oleh Shah untuk menyusu anaknya.
Tambah Shah lagi, idea itu muncul spontan pada hari kejadian tetapi merupakan inspirasi daripada satu video di YouTube yang dilihat beberapa tahun lalu.
"Isteri saya yang rakam sebab dia suka idea saya tu. Saya pun saja-saja upload dekat TikTok, tak sangka boleh viral pula.
"Idea tu saya dapat lepas saya tengok video dekat YouTube, mat salih punya channel. Dah lama dah, beberapa tahun lalu, jadi berguna sekarang.
"Tapi mereka guna bahan lain, macam saya guna baju, tapi konsepnya masih sama. Nak bagi anak tu rasa macam tengah menyusu dengan ibunya," ujar Shah.
Kini, baju putih yang mempunyai lubang itu telah menjadi baju khas yang akan dipakai ketika hendak menyusu anak.
Idea itu diinspirasikan dari satu video yang dilihat di YouTube.
Baru menimang cahaya mata pertama, Shah mengakui masih kurang pengalaman sebagai seorang bapa tetapi bertekad memberikan yang terbaik untuk anaknya.
"Anak saya tiap-tiap malam menangis. Risau juga takut ada sakit apa-apa. Tapi bila saya buat research, rupanya sebab dia nak menyusu.
"Itu yang saya fikirkan helah ini. Kita sebagai bapa ni akan buat apa sahaja untuk bagi anak tak menangis.
"Keep exploring, itu nasihat saya kepada bapa di luar sana. Struggle sebenarnya kehidupan sebagai seorang ayah ni.
"Susah macam mana pun, semua akan tetap dikorbankan demi yang terbaik untuk anak," ujar Shah mengakhiri bicara.
Sumber : Mstar
Terima kasih