KOTA KINABALU, 9 Nov : Kerajaan Sabah mengumumkan peruntukan sebanyak RM54 juta bagi membantu sekolah-sekolah Cina dan mubaligh serta badan keagamaan bukan Islam di Sabah untuk 2023.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata penambahan sebanyak RM7 juta diberikan berbanding RM47 juta pada tahun ini sejajar dengan komitmen padu kerajaan Gabungan Rakyat Sabah-Barisan Nasional (GRS-BN) untuk memastikan keperluan masyarakat terus diberi keutamaaan.
“Saya berharap bantuan diagihkan atas keprihatinan kerajaan negeri akan dapat meringankan beban dalam membangun dan membaiki sekolah serta rumah ibadat bukan Islam di Sabah sekali gus memberi keselesaan dan manfaat kepada rakyat bukan Islam di peringkat akar umbi.
Kerajaan negeri sentiasa menekankan dasar keadilan dan kesaksamaan dalam semua aspek serta sentiasa membantu rakyatnya tanpa mengira bangsa dan agama,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.
Hajiji berkata sokongan padu masyarakat Cina di Sabah kepada kerajaan GRS-BN pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan menjamin kesejahteraan masyarakat agar terus diperjuangkan.
Dalam pada itu, Hajiji berkata selama dua tahun memerintah banyak kejayaan telah dibawa oleh GRS-BN, terutama dalam usaha pemulihan ekonomi negeri selepas pandemik COVID-19.
“Pendekatan mesra pelabur yang kita laksanakan membawa ramai pelabur asing dan tempatan ke Sabah malah ramai duta dan pesuruhjaya dari negara Arab turut bertemu dengan saya untuk melihat peluang pelaburan di negeri ini,” katanya.
Sumber – BERNAMA
Terima kasih