Lelaki Ditahan Disyaki Rogol Budak 8 Tahun Di Semporna

Gambar Hiasan

SEMPORNA: Polis menahan seorang lelaki disyaki merogol seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun, di sini, kelmarin.

Kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa berada di Pekan Semporna sebelum dikatakan dibawa menaiki sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux oleh seorang individu tidak dikenali antara jam 8.30 hingga 9.30 malam.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Mohd Farhan Lee Abdullah, berkata pihaknya menerima laporan daripada ibu saudara mangsa, semalam pada jam 12.09 tengah malam.

Berdasarkan laporan itu, beliau berkata, pengadu mendakwa anak saudaranya menjadi mangsa rogol dan ditemui dalam keadaan lemah oleh rakannya di belakang sebuah pasar raya, di sini.

“Susulan laporan itu dan bertindak atas maklumat, pasukan dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) berjaya mengesan serta menangkap suspek di sebuah rumah tidak bernombor, di sini, pada jam 2.30 pagi hari sama.

“Suspek yang juga warga tempatan berumur 40 tahun kini ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Mohd Farhan Lee berkata, mangsa telah dihantar ke Hospital Semporna sebelum dirujuk ke Hospital Tawau untuk pemeriksaan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 376 (2) (e) Kanun Keseksaan, iaitu merogol kanak-kanak bawah umur, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.

Beliau sekali gus meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes itu supaya tampil membantu siasatan dengan menyalurkannya kepada pegawai penyiasat, Inspektor Adham Ramli melalui talian 011-10145004 atau mana-mana balai polis berhampiran. 

Sumber – BH Online