BNM dijangka mengumumkan satu lagi kenaikan OPR pada November -NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
KUALA LUMPUR: Permohonan baharu pinjaman isi rumah meningkat tujuh peratus pada Ogos, dipacu oleh pembelian kenderaan pengangkutan yang lebih tinggi, manakala hartanah kediaman kekal memberangsangkan di sebalik persekitaran kenaikan kadar faedah.
Penganalisis Kenanga Research, Clement Chua, berkata jumlah permohonan pinjaman baharu pada bulan Ogos lalu adalah lebih tinggi kecuali bagi pembelian sekuriti, memandangkan selera pelaburan yang berkurangan.
"Walaupun permohonan pinjaman baharu perniagaan berkurangan sebanyak 11 peratus berbanding bulan sebelumnya, ia masih kekal di paras kemuncak (rekod tertinggi dicatatkan pada Julai), yang menjadi petunjuk bahawa kesesakan telah dapat diselesaikan," katanya.
Chua berkata, pinjaman dalam sistem kewangan pada Ogos lalu mencatatkan pertumbuhan 6.8 peratus berbanding setahun lalu.
Katanya, walaupun permohonan pinjaman pada Ogos 2021 mungkin lebih perlahan disebabkan pelaksanaan moratorium pinjaman yang kedua, peningkatan sebanyak 0.7 peratus berbanding bulan sebelumnya didorong oleh lebih banyak pinjaman perniagaan (satu peratus) yang berpunca daripada pertumbuhan meluas merentasi industri.
"Sementara itu, peningkatan 0.5 peratus MoM dalam pinjaman isi rumah mengejutkan kami kerana telah menjangkakan angka yang lebih perlahan sebagai tindak balas kepada kadar faedah yang lebih tinggi.
"Dengan unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kami turut disemak semula kepada 6.7 peratus berbanding 5.7 peratus sebelumnya di tengah-tengah kekuatan ekonomi, kami menjangkakan adalah wajar untuk menaikkan sasaran pertumbuhan pinjaman industri kepada 6.0 hingga 6.5 peratus berbanding 5.5 hingga 6.0 peratus sebelum ini, namun sedikit penurunan dijangka pada suku keempat ini," katanya.
Kenanga Research mengekalkan saranan 'overweight' terhadap sektor perbankan, kata Chua.
"Kami teruja dengan prestasi pertumbuhan pinjaman yang mantap, mengukuhkan lagi prospek sektor perbankan.
"Kami menjangkakan kenaikan dua lagi OPR (Kadar Dasar Semalaman) sebanyak 25 mata asas dalam mesyuarat MPC (Jawatankuasa Dasar Monetari) BNM (Bank Negara Malaysia) berikutnya, yang boleh meningkatkan margin perbankan sambil mengimbangi tekanan harga kompetitif," katanya.
Sementara itu, penganalisis Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research, Chan Jit Hoong, berkata peningkatan permohonan pinjaman isi rumah pada bulan Ogos lalu adalah meluas dalam semua sektor, manakala permohonan pinjaman perniagaan dipacu terutamanya oleh pinjaman bagi tujuan modal kerja.
"Secara keseluruhan, pertumbuhan pinjaman sistem kewangan sekali lagi mengatasi jangkaan kami bagi seluruh tahun 2022 iaitu antara 5.5 hingga 6.0 peratus, justeru, kami menyemaknya semula meningkat kepada 6.0 hingga 6.5 peratus berikutan pemulihan ekonomi yang kukuh," katanya.
Beliau berkata, HLIB turut mengekalkan saranan 'overweight' terhadap sektor perbankan.
"Kami masih melihat secara positif sektor perbankan dan berpandangan bahawa profil risikonya cenderung ke arah peningkatan," katanya.
HSBC Global Research baru-baru ini menjangkakan BNM menaikkan OPR sehingga 3.50 peratus memandangkan bank pusat itu terus mengetatkan dasar monetari.
Ia turut menjangkakan kenaikan 25 mata asas lagi akan diputuskan semasa mesyuarat MPC BNM pada November 2022 dan sekali gus menjadikan OPR sebanyak 2.75 peratus menjelang akhir 2022.
Sumber : Bharian
Terima kasih