Kejatuhan ringgit, negara perlukan pakar luar

Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah. - NSTP/Mohd Yusni Ariffin

GUA MUSANG: Bekas Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah mencadangkan kerajaan melantik pakar ekonomi dari luar sekiranya kerajaan tidak mampu untuk mengekang kejatuhan ringgit.

Ahli Parlimen Gua Musang itu berkata, masalah kejatuhan ringgit harus diselesaikan segera kerana ia memberi kesan kepada rakyat yang terbeban dengan kenaikan harga barang.

Katanya, jika tiada usaha dilakukan oleh pihak kerajaan, ringgit dibimbangi akan terus merudum seperti jangkaan sebelum ini.

"Kerajaan mesti bertindak dengan segera, kalau kerajaan tak mampu kena carilah pakar dari luar untuk membantu, tidak boleh biar begitu sahaja.

"Ia membahayakan kedudukan bukan sahaja harta yang dimiliki rakyat Malaysia kerana nilainya jatuh, jadi boleh dibeli oleh orang asing dengan mudah dan murah kerana kejatuhan yang begitu banyak. Syarikat kepada pemodal luar yang datang beli dan jual (akan) ambil kesempatan dengan kejatuhan ringgit kita.

"Apatah lagi (kesan) kepada rakyat, kerana harga barangan sudah tentu meningkat. Kita memang takut satu hari ringgit tidak laku langsung dan saya dah ramal kemungkinan ringgit akan jatuh kepada lebih RM5 bagi satu dolar Amerika Syarikat (AS)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat PIBG Sekolah Kebangsaan (SK) Pos Brooke Kali ke-21, di sini, semalam.

Tengku Razaleigh berkata, usaha penubuhan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi oleh kerajaan dilihat hanya melaksanakan tugas untuk mengawal kenaikan harga barangan, namun tidak menyelamatkan mata wang ringgit daripada terus jatuh.

"Hari ini (semalam) RM4.63 jatuh daripada RM4.50. Saya dah cadang supaya adakan control (kawalan) supaya tidak menambatkan kepada dolar kerana kita mesti jaga reserve (simpanan) kita. Tak boleh nak guna dolar kita untuk pertahankan ringgit.

"Saya tak berani nak kata (Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi) tak berjaya, tetapi jelas sekali ia tak boleh memberi kesan apabila ringgit terus jatuh. Setiap pagi kita tengok ringgit makin rendah nilainya seolah-olah tak ada kesan.

"Saya percaya Bank Negara dan pegawai yang ada dalam jawatankuasa ditubuh oleh kerajaan untuk mengawal kejatuhan ringgit ada lagi langkah-langkah lain yang boleh buat. Tetapi hairannya nampak seolah-olah macam tak ada tindakan dan ringgit semakin jatuh," katanya.

Sumber : Bharian