Jumlah permohonan tinggi punca calon tidak terima tawaran ke Universiti Awam

HUSAINI Omar (kiri) bersama Pengarah Bahagian Kemasukan Pelajar IPTA Jabatan Pendidikan Tinggi, Wahi Nordin ketika taklimat media mengenai permohonan UPUOnline di Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah

Putrajaya: Permohonan yang tinggi bagi program kompetitif selain gagal dalam temu duga antara faktor calon tidak mendapat tawaran ke universiti awam (UA) melalui sistem UPUOnline, kata Ketua Pengarah Pengajian Tinggi Prof Datuk Dr Husaini Omar.

Dalam taklimat media mengenai UPUOnline di sini hari ini, beliau berkata program kompetitif seperti perubatan, perakaunan serta undang-undang mendapat permohonan yang tinggi dan persaingan yang sengit kerana ramai calon yang layak.

Mengambil contoh program perubatan, beliau berkata sebanyak 1,931 calon memohon program berkenaan berbanding kapasiti tempat disediakan iaitu 680 saja.

Keputusan permohonan melanjutkan pengajian ke UA Sesi Akademik 2022/2023 bagi lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) atau setarafnya diumumkan pada Ahad lepas melalui UPUOnline.

Sesi Akademik 2022/2023 menawarkan 1,088 program untuk lepasan STPM dan setaraf, 293 program pengajian bertemu duga dan ujian serta 795 program pengajian tidak bertemu duga dan ujian.

Secara keseluruhan, Husaini berkata 115,477 calon memohon untuk masuk ke UA melalui sistem UPUOnline tahun ini dengan 90,745 daripada mereka layak kerana melepasi syarat am ditetapkan universiti.

"Kita sediakan 71,615 tempat di 20 UA seluruh negara untuk lepasan STPM dan setara pada tahun ini," katanya sambil menambah sebanyak 48,665 tempat adalah untuk calon STPM dan asasi, 2,974 untuk lepasan Sijil Tinggi Agama Malaysia dan 19,976 untuk lepasan diploma dan setara.

Husaini berkata kemasukan ke UA melalui sistem UPUOnline turut membabitkan empat kumpulan sasar yang diberi laluan khas iaitu kumpulan B40, orang Asli, Orang Kelainan Upaya (OKU) dan atlet iaitu 23,032 calon kategori B40, orang Asli (86), OKU (125) dan atlet (32).

Beliau berkata calon yang gagal mendapat tawaran ke UA masih boleh membuat rayuan melalui sistem UPUOnline atau mengemukakan permohonan terus ke universiti untuk ambilan sendiri.

"Permohonan rayuan di UPUOnline boleh dibuat dalam tempoh 10 hari selepas keputusan permohonan kemasukan diumumkan.

"Hanya empat pilihan saja diberi untuk pemohon kemukakan rayuan, dan mereka diminta membuat pilihan terbaik berdasarkan kriteria program," katanya hanya 587 program pengajian ditawarkan semasa rayuan.

Dalam pada itu, Husaini berkata pihaknya mempertimbangkan cadangan untuk memasukkan sebab-sebab calon gagal dalam keputusan melanjutkan pelajaran ke UA melalui sistem UPUOnline.

"Sekarang kita hanya letak 'Berjaya' atau 'Gagal' dalam keputusan permohonan ke UA, mungkin kita pertimbangkan untuk letak sebab-sebab mereka gagal untuk mereka tahu nanti," katanya.

Sumber : Harian Metro