Jihan Muse mahu rehat seketika, gembira Elly Mazlein berjaya meriahkan GV9

Ingin memberi tumpuan kepada keluarga, pelawak dan pengacara Jihan Muse mengambil keputusan untuk berehat seketika daripada sebarang pembabitan dunia seni.

Menurut laporan Harian Metro, pihak pengurusan Jihan iaitu Laugh Out Loud Entertainment memaklumkan perkara tersebut menerusi satu kenyataan.


Ketua Pegawai Eksekutif Laugh Out Loud Entertainment, Abdul Afiq Abdul Wahab berkata, pengacara berusia 39 tahun itu kini berehat sebentar apatah lagi baru bersalin anak kedua pada 6 September lalu.

“Perkara utama yang Jihan buat adalah keputusan untuk dia tidak bersama-sama dalam program Gegar Vaganza 9 (GV9)…

“…kerana dirinya yang masih sarat mengandung pada minggu pertama pentas saingan bermula, sekali gus menunggu masa kelahiran anak keduanya.

“Buat masa sekarang, Jihan masih berehat sepenuhnya dan memberi tumpuan kepada keluarga serta anak kedua yang baru lahir. Termasuk, dia juga masih dalam tempoh berpantang ketika ini,” katanya.

Abdul Afiq berkata, Jihan turut berkongsi rasa gembira apabila menonton GV9 yang kini tempatnya digantikan oleh artis serba boleh Elly Mazlein atau Kak Lina Pom Pom.



Malah, Jihan memberi pendapat bahawa Elly berjaya menggalas tugas sebaiknya dengan cara tersendiri sekali gus mengekalkan kemeriahan GV9.

“Kak Lina berjaya meletakkan GV9 sebagai program tv yang sentiasa ‘trending’ (sohor kini) di semua platform media sosial.

“Jihan amat bersyukur kerana penerimaan penonton masih lagi tinggi pada tahun ini malah makin meningkat,” ujarnya.


 

Untuk rekod, Jihan berkahwin dengan Ungku Hariz pada 20 Mac 2016 dan dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Ungku Arsalan Haq, 4, dan Ungku Altamis Barr yang baru berusia sebulan.


Sumber: OhMyMedia