Filem dedah aurat masih tersiar, Lisa tak mampu kawal-“Harap akan hilang sendiri”


Pelakon popular, Lisa Surihani memaklumkan dia tidak dapat mengawal tayangan filem-filem lakonannya yang tidak menutup aurat pada suatu ketika dahulu yang masih ada di pelbagai platform media sosial.

Ujar aktres yang berusia 36 tahun itu lagi, buat masa kini dia hanya mampu berdoa perubahan yang dilakukannya selama ini untuk menutup aurat terus istiqamah dan sentiasa dipermudahkan.

“Saya hanya mampu berdoa sebab ada perkara yang bukan dalam kawalan saya. Ada benda yang saya sendiri tak boleh buat apa-apa.

“Saya sendiri belum arif tentang hukum itu dan belum lagi bertanya ustaz atau pakar agama tentang perkara itu. Saya berdoa agar jalan saya dipermudahkan dan berharap perkara itu (filem) akan hilang sendiri nanti,” ujarnya


Bukan itu sahaja, isteri kepada pengarah terkenal, Datuk Yusry Abdul Halim itu turut memaklumkan dia masih lagi berkecimpung dalam dunia hiburan dan masih terima tawaran lakonan daripada produksi.

Tambah pelakon Lagenda Budak Setan itu lagi, dia kini sedang menjalankan sebuah penggambaran dan tawaran yang diterimanya masih dalam pertimbangan.

“Nak kata saya sudah berhenti berlakon tidak juga sebab saya sedang menjayakan sebuah penggambaran melakonkan watak cameo (pelakon undangan). Ada juga beberapa tawaran masih dalam pertimbangan. InsyaAllah jika ada watak yang bersesuaian saya terima,” katanya lagi.

Sumber: Kosmo (Lia Othman), OhMyMedia