Elak ular melintas, wanita hamil maut, bayi berjaya diselamatkan

0
MOTOSIKAL ditunggangi wanita sarat mengandung yang terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta. FOTO Ihsan PDRM.

Sik: Akibat mengelak seekor ular melintas, seorang ibu yang sarat mengandung meninggal dunia manakala bayinya berjaya diselamatkan selepas motosikal ditunggangi wanita itu terbabit kemalangan dengan sebuah kereta di Kilometer 29, Kampung Charuk Padang, Jalan Jeniang Sik-Pedu, semalam.

Dalam kejadian jam 4.30 petang itu, mangsa, Nor Hidayah Abdullah, 27, menunggang motosikal Honda Wave Alpha bersama seorang remaja perempuan berusia 16 tahun.

Ketua Polis Daerah Sik, Deputi Superintendan Abdull Razak Osman berkata, siasatan awal di lokasi mendapati motosikal mangsa dipercayai dari arah Sekolah Menengah (SM) Sik menghala ke rumahnya di Bandar Baru Beris Jaya.

Sementara, kereta Perodua Axia dari arah rumahnya di Pekan Sik menghala ke arah Sekolah Menengah (SM) Kebangsaan Sri Enggang untuk mengambil anaknya yang bekerja di situ.

Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati, mangsa yang tidak bekerja dipercayai cuba mengelak seekor ular yang melintas secara tiba-tiba di bahu kiri jalan menyebabkan mangsa memasuki laluan kereta sebelum berlaku pelanggaran di bahagian sebelah kiri kenderaan itu.

"Pemandu kereta yang juga wanita berusia 61 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Remaja perempuan yang membonceng motosikal itu pula mengalami calar di tangan kanan dan kini dirawat di Hospital Sik (HS) manakala wanita itu meninggal dunia di tempat kejadian.

"Akibat kemalangan itu mangsa dipercayai mengalami kecederaan parah di beberapa bahagian badan termasuk muka," katanya.

Menurutnya, kandungan wanita itu berjaya diselamatkan selepas mangsa segera dibawa ke HS untuk menyelamatkan bayinya.

Abdull Razak berkata, bayi mangsa kemudian dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk mendapatkan rawatan lanjut.

"Mayat wanita itu kemudian dibawa ke Jabatan Forensik HSB untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Sumber : Hmetro
Tags:

Catat Ulasan

0Ulasan

Terima kasih

Catat Ulasan (0)

#buttons=(Amin) #days=(20)

Semoga dipermudahkan segala urusan kita hari ini. Learn more
Ok, Go it!