Diuji kanser sarcoma, Dr Zulkifli kongsi kisah arwah anak tak pernah tinggal solat walau tenat. Innalillahiwainilaihirojiun. Al-Fatihah buat arwah Hammad bin Shereen iaitu anakanda kepada Mantan Menteri Agama, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri yang dijemput Allah tepat jam 5.22 pagi semalam.
Diuji kanser right soft tissue sarcoma stage 4-5
Berusia 22 tahun, arwah Hammad menderita kanser sarcoma dan meninggal di saat kanser itu mengganas pada stage 4-5.
Berkongsi kisah anaknya, kata Dr Zulkifli anaknya tidak meninggalkan solat hatta dalam keadaan tenat sekali pun kerana begitu menjaga ibadah ini.
Tulisnya, Hammad adalah anak yang soleh. Sentiasa melazimi solat berjemaah dan zikir walaupun ketika sedang tenat di atas katil. Alhamdulillah, beliau meninggalkan kami di sisi, dalam keadaan yang amat mudah.
Walau sakit, Hammad tetap menjaga solatnya walaupun terbaring di atas katil. Mulutnya terkumat-kamit berzikir dan membaca ayat-ayat al-Qur’an.
Tambahnya lagi, Hammad mungkin ada mengalami demensia di penghujung hayatnya. Lupa itu dan ini. Tetapi apabila tiba waktu solat, ingatannya seolah-olah pulih. Beliau tetap solat walaupun tenat. Itu yang membanggakan saya.
Dan alhamdulillah, urusan pengkebumian arwah Hammad dipermudahkan Allah kerana di usia mudanya, arwah sentiasa meletakkan Allah di hadapan.
Kata Dr Zulkifli, dalam tempoh tak sampai 4 jam, dari urusan kematian hinggalah kafan, solat jenazah dan dikebumikan, ia diselesaikan dengan sangat mudah.
“Anakanda saya kembali ke rahmatullah pada jam 5.22 pagi. Jam 9.45 pagi beliau disolatkan. Jam 11.30 pagi beliau siap dikebumikan. Alhamdulillah, semuanya diuruskan dengan pantas sebagaimana sunnah Nabi SAW.
Di sebalik ujian yang menimpa keluarga Senator Dewan Negara ini, apa yang membuatkan ramai berasa sebak, sementara menunggu jenazah anaknya disolatkan, Dr Zulkifli tetap tenang menyampaikan kuliah agamanya lebih kurang setengah jam sebelum solat jenazah disempurnakan.
Satu situasi yang sangat luar biasa dan jarang terjadi bila mana ada ahli keluarga kita yang meninggal di mana kita pasti berasa sedih dan sibuk menguruskan pelbagai urusan.
Katanya :- Assalamualaikum. Jalsah ‘Ilmiyyah pada pagi ini jam 9 pagi diteruskan seperti biasa sebelum solat jenazah anakanda saya pada jam 9.45 pagi. Kemuliaan ilmu tidak ada galang gantinya.
Al-Hafiz al-Munziri (wafat 656H) terkenal sebagai salah seorang ulama yang begitu tekun dengan ilmu. Beliau sesekali tidak akan meninggalkan madrasahnya untuk apa jua tujuan walaupun untuk berehat. Hidupnya hanya diwakafkan untuk ilmu.
Ada kisah yang diriwayatkan oleh Al-Imam Tajuddin al-Subki berkenaan kewafatan anak kepada Al-Hafiz al-Munziri. Beliau solat jenazah untuk anaknya di dalam madrasah dan menghantar jenazah hingga ke muka pintu.
Betapa ulama silam memuliakan ilmu walaupun anaknya meninggal dunia. Atas asas ini, saya teruskan kuliah pada pagi ini. Jemput hadir kepada semua.
Tambahnya lagi, kematian menyedarkan kita bahawa kehidupan yang hakiki sebenarnya bermula selepas nafas terhenti.
Sumber : Mingguan Wanita
Terima kasih