Jumlah pemilih di Sabah dilaporkan meningkat daripada 1.06 juta kepada 1.64 juta sejak 2018.
KOTA KINABALU: Peningkatan 54% pemilih berdaftar di Sabah mencetuskan keraguan berhubung satu lagi “Projek IC”, program pada 1990-an yang secara sistematik memberikan kewarganegaraan kepada migran.
Beberapa parti politik menimbulkan persoalan mengenai peningkatan jumlah pengundi, terutama daftar pemilih di beberapa kawasan melebihi 70%, berbanding pada 2018.
Antara mereka adalah Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah Bung Moktar Radin, yang pada Jumaat, mahu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memberi penjelasan kenaikan pengundi berdaftar di Sabah, lebih 50% berbanding 2018.
Bung Moktar berkata, timbul kebimbangan mengenai peningkatan besar jumlah pengundi Bumiputera Islam di kawasan Kadazan Dusun Murut, termasuk di Parlimen Penampang.
Daftar pemilih terkini dikeluarkan SPR menunjukkan, jumlah pengundi di Sabah bertambah 1.64 juta pemilih, berbanding 1.06 juta hanya dalam tempoh empat tahun lalu.
Peningkatan ketara dilaporkan berlaku antara 2018 dan 2020, dua tahun sebelum umur dibenarkan mengundi diturunkan kepada 18 tahun, selain daftar pemilih automatik yang berkuat kuasa.
Di Keningau, terdapat pertambahan lebih 30,000 pengundi baharu dengan jumlah keseluruhan pemilih berdaftar lebih 80,000 pengundi. Di Sepanggar, daftar pemilih menunjukkan berlaku peningkatan 72% daripada 62,000 pada 2018 kepada 107,000 pengundi.
Identiti kaum membabitkan pengundi baharu juga dipersoalkan dengan kebanyakan mereka berdaftar sebagai Melayu, yang disifatkan ‘luar biasa’ dalam kalangan anak Sabah.
Sabah juga mempunyai sejumlah besar populasi Cina dan komuniti kecil masyarakat India.
16,000 pengundi baharu India di Kudat
Bagaimanapun, di Kudat, sejumlah 16,000 daripada 23,000 pengundi baharu merupakan orang India, sekali gus mengundang persoalan dari pemimpin Bersatu Sabah, John Ambrose, mengenai kesahihan data pemilih, memandangkan populasi kecil masyarakat itu di daerah utara Sabah.
Walaupun kebanyakan pengundi baharu terdiri dari belia yang mendapat manfaat peraturan Undi18, majoriti pengundi baharu berusia lebih 30-an, dan ada yang berusia 60-an.
Timbalan Presiden Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) Clarence B Malakun, berkata SPR dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) perlu memberi penjelasan berhubung perkara dibangkitkan.
“Rakyat Sabah telah lama hidup di bawah syak wasangka bahawa orang bukan rakyat Sabah telah berjaya membuang undi. Kami dengar tentang mereka mendapat IC. Kami dengar berhubung skandal Projek IC dan sekarang, ini,” katanya dalam kenyataan.
Perkara berkenaan dijangka menjadi isu hangat menjelang pilihan raya umum ke-15 (PRU15). Beberapa parti politik, termasuk dari kerajaan mahu daftar pemilih dibersihkan terlebih dulu sebelum pilihan raya.
“Kita perlu mencari puncanya kerana mustahil kita mempunyai peningkatan 50% (pengundi) kurang daripada lima tahun. Ini meragukan,” kata Presiden STAR Jeffrey Kitingan.
Sumber – FMT
Terima kasih