BAJET 2023 | Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri 2023 Naik Kepada RM600

Telegram Rasmi Bantuan Kerajaan👇https://t.me/SenaraiBantuanKerajaan

KUALA LUMPUR, 7 Okt (Bernama) — Penjawat awam bakal menerima Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri 2023 yang dinaikkan kepada RM600 dan mula dibayar pada Mac 2023.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata bantuan itu menjadikan jumlah tambahan keseluruhan kepada penjawat awam yang layak sebanyak RM2,500 pada tahun hadapan.

Katanya bantuan tambahan lain adalah Bantuan Khas Kewangan RM700 dan Kenaikan Gaji Tambahan Khas 2023 RM100 kepada penjawat awam Gred 56 ke bawah yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam ke-18 pada 30 Ogos lepas.

“Keluarga Malaysia amat berterima kasih atas dedikasi dan kesungguhan yang tidak berbelah bahagi barisan hadapan negara dalam melunaskan amanah sepanjang membangunkan tanah air ini,” katanya ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 di Dewan Rakyat hari ini.

Selain itu, beliau mengumumkan kebenaran penebusan awal gantian cuti rehat (GCR) sehingga 50 peratus yang akan dinaikkan sehingga maksimum 90 hari bagi membantu penjawat awam yang memerlukan.

Katanya ia selaras dengan pengumuman perdana menteri mengenai kadar maksimum GCR yang boleh dikumpulkan bagi tujuan award wang tunai yang dinaikkan daripada 160 kepada 180 hari.

Bagi memupuk amalan gaya hidup sihat dalam kalangan penjawat awam, Tengku Zafrul berkata kerajaan akan memperluas tafsiran peranti digital di bawah Skim Pembiayaan Komputer dan Telefon Pintar untuk turut merangkumi jam tangan pintar.

Sementara itu, beliau berkata pada tahun hadapan kerajaan bersetuju untuk memberikan subsidi RM100 bagi perlindungan insurans atau takaful isi rumah atau home content yang bernilai RM20,000 sebagai usaha meringankan beban peminjam yang terkesan dengan bencana.

Bagi fokus tadbir urus kerajaan, menteri kewangan itu berkata Pusat Transformasi Bandar (UTC) akan diberi nafas baharu serta ditransformasi dengan perkhidmatan digital dan pekerjaan dengan cadangan penubuhan dua UTC baharu, di samping menyelenggara pusat sedia ada dengan peruntukan RM20 juta.

Selain itu, beliau berkata bagi membantu golongan penganggur menerusi padanan pekerjaan, kerajaan akan membangunkan 13 Pusat Satelit MYFutureJobs di UTC seluruh negara dengan peruntukan RM8 juta ringgit.


Sumber — BERNAMA