Agong, Raja Permaisuri lakukan kunjungan hormat ke atas Raja Charles III

AL-SULTAN Abdullah ketika kunjungan hormat ke atas Raja Charles III. FOTO Facebook Istana Negara

Kuala Lumpur: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenaan berangkat melakukan kunjungan hormat ke atas Raja Charles III di Istana Buckingham di London, United Kingdom (UK), semalam.

Istana Negara dalam satu kenyataan hari ini, memaklumkan kunjungan hormat itu bersempena lawatan khas Seri Paduka Baginda berdua ke London, dari 10 Oktober hingga 16 Oktober.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin, berkata sesi kunjungan hormat itu yang berlangsung selama 40 minit bermula pada 3 petang (waktu tempatan).
"Raja Charles III berkenan menyantuni dan beramah mesra dengan Seri Paduka Baginda berdua.

"Raja Charles III dan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong turut menyentuh isu-isu hubungan dua hala antara Malaysia dan UK termasuk isu alam sekitar dan pelancaran Battersea Power Station, sebuah projek hartanah ikonik pelaburan Malaysia di London, yang akan dirasmikan Seri Paduka Baginda selepas sesi kunjungan hormat itu," katanya.

Ahmad Fadil berkata, keberangkatan Seri Paduka Baginda berdua melakukan kunjungan hormat itu mencerminkan keakraban Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dengan Raja Charles III.

"Kedua-dua pemimpin sudah menjalinkan persahabatan sejak lebih empat dekad, bermula dengan bersukan polo bersama-sama ketika remaja di pelbagai peringkat kejohanan antarabangsa.

"Kunjungan hormat ini, yang juga pertemuan kali kedua antara kedua-dua pemimpin pada tahun ini, turut mencerminkan hubungan dua hala yang rapat antara Malaysia dan United Kingdom sejak kemerdekaan 65 tahun lalu," katanya.

Pada 18 September lalu, Seri Paduka Baginda berdua berkenan berangkat menghadiri Majlis Resepsi Bersama Raja Charles III yang dihoskan oleh baginda di Istana Buckingham.

Seri Paduka Baginda berdua turut berkenan berangkat menghadiri istiadat pemakaman negara Ratu Elizabeth II di Westminster Abbey pada 19 September lalu.

Sumber : Harian Metro