335 PATI Filipina Di Hantar Pulang


SANDAKAN: 335 pendatang asing tanpa izin (PATI) Filipina dihantar pulang ke negara asal melalui Pelabuhan Sandakan ke Pelabuhan Zamboanga City, Filipina, Selasa lalu.

Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yusoff berkata PATI yang dihantar pulang berusia antara 23 bulan hingga 64 tahun membabitkan 266 lelaki, 34 wanita dan 35 kanak-kanak yang sebelum ini ditahan di Depot Tahanan Sandakan dan Papar.

Katanya, kanak-kanak yang dihantar pulang ditemani ibubapa atau penjaga masing- masing.

Kesemua tahanan menaiki Feri MV Antonia 1 dari Pelabuhan Sandakan ke Zamboanga City.

“PATI yang ditahan di Depot Tahanan Imigresen di seluruh negeri Sabah telah melakukan pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan–Peraturan Imigresen 1963.

“Hukuman yang dikenakan ke atas semua PATI ini adalah berdasarkan peruntukan di bawah Akta Imigresen dan proses perundangan negara sehingga tindakan terakhir iaitu pemindahan keluar dari negara,” katanya dalam satu kenyataan media semalam.

SH Sitti Saleha Saleha mengingatkan semua warga asing agar memiliki dokumen perjalanan yang sah dan permit kerja yang dibenarkan sebelum masuk dan bekerja di Sabah dan di negara ini.

Katanya, semua agensi penguatkuasaan di Sabah akan sentiasa mengambil tindakan tegas ke atas mereka yang tidak mematuhi
peraturan dan undang-undang negara.

“Operasi pemindahan ini adalah sebahagian daripada operasi berterusan yang dilakukan oleh JIM Sabah bagi tahanan warga asing yang ditempatkan di semua Depot Tahanan Imigresen di seluruh Sabah,” katanya.

Sumber : SabahPost