Belanjawan 2021: Peruntukan lebih besar untuk Sabah - Azizah Dun

Belanjawan 2021: Peruntukan lebih besar untuk Sabah - Azizah Dun
KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta untuk menyediakan peruntukan lebih besar kepada Negeri Sabah meliputi semua aspek dalam Belanjawan 2021.

Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Azizah Mohd Dun berkata, perkara itu mencakupi aspek pembangunan infrastruktur, kesihatan dan kemudahan jalur lebar.

Katanya, perkara itu dilihat antara yang menjadi keperluan selepas Sabah terkesan dengan pandemik COVID-19.

"Perbelanjaan lebih besar dan perhatian serius amat diperlukan dengan menyediakan kemudahan serta keperluan khas selain tenaga kerja dalam sektor kesihatan di negeri ini.

"Sebagai contoh di kawasan saya, walaupun sudah ada dua buah hospital, tetapi kita terpaksa buka pusat lain untuk menangani COVID-19.

"Sehubungan itu, dalam belanjawan akan datang, perlu lebih banyak perntukan diberikan kepada Sabah dalam meningkatlkan kemudahan kesihatan dan pembangunan bukan sahaja untuk COVID-19, sebaliknya persiapan pada masa hadapan," katanya kepada Astro AWANI di sini pada Ahad.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi bayangan kerajaan akan menumpukan usaha memerangi habis-habisan pandemik COVID-19 dalam Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan pada 6 November depan.

Mengulas lanjut, Azizah yang juga Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) meminta agar kerajaan turut menumpukan kepada kemudahan jalur lebar di Sabah khususnya di kawasan pedalaman.

Usaha itu, menurut beliau mampu menyediakan ruang kepada rakyat untuk melakukan peniagaan dalam talian yang dilihat antara kebiasaan baharu susulan pandemik itu.

"Peniaga kecil khususnya di Sabah amat terkesan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasa kerana operasi perniagaan tidak boleh diteruskan dengan baik.

"Oleh itu, dalam kebiasaan baharu, kita memerlukan capaian jalur lebar yang lebih luas dan kukuh untuk dimanfaat rakyat dalam menjana pendapatan," katanya.